Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Anak seni tempatan, Sezairi, telah diundang untuk menjadi antara barisan penyanyi yang akan membuat penampilan di Java Jazz Festival 2023.
Penyanyi It’s You yang telah menempa nama di Indonesia itu akan membuat persembahan di Jiexpo (Jakarta International Expo) Kemayoran bulan Jun nanti.
Beberapa hari lepas, pemenang Singapore Idol 3 itu telah mengumumkan penglibatannya dalam Java Jazz menerusi Instagramnya.
Dalam video tersebut, kelihatan Sezairi sungguh terharu apabila mendapat berita bahawa beliau akan terlibat dalam pesta tersebut. Sezairi mengatakan bahawa beliau memang teringin untuk membuat persembahan di Java Jazz dalam sebuah wawancara di acara sidang media.
Dalam kapsyennya, Sezairi menceritakan bagaimana pertama kali beliau ke Java Jazz untuk menonton Corrine Bailey Rae dan rasa tergerak untuk mengalami suasana yang serupa.
Setelah itu, beliau menjadi seorang pemuzik sepenuh masa dan kini, dijemput sebagai salah seorang penyanyi di Java Jazz! Bak kata pepatah Inggeris, it has come full circle.
Kami mengucapkan yang terbaik buat Sezairi dan semoga segalanya berjalan lancar.
Antara artis antarabangsa lain yang akan muncul di Java Jazz ialah Cory Wong, The Chicago Experience, Alonzo Brata, Paul Pratohap, Workshy dan ramai lagi. Pesta muzik tiga hari ini akan berlangsung pada 2 hingga 4 Jun. Tiket-tiket boleh didapati di sini.
-Pengkritik Sandiwara
(gambar header: IG Sezairi)