Apa yang best sangat tentang muzikal Hamilton?

Hampir terlena tonton muzikal ni tau!

Awal bulan ni, Min telah ke Sands Theatre di Marina Bay Sands untuk menyaksikan muzikal antarabangsa yang digilai ramai orang!

Siapa tak tau muzikal Hamilton yang amat popular dan juga telah meraih 11 Anugerah Tony ini?

Apabila ia diumumkan bahawa Hamilton akan menjejak ke Singapura, tiket laku bak goreng pisang panas dan ada tambahan persembahan pula!

Tak nak FOMO, Min pun belilah tiket. Tapi yang paling murah ler…

Karya Barat yang tidak boleh Min hargai

Namun, malang sekali Min tak dapat menikmati muzikal ini dengan sepenuh hati.

Tidak boleh dinafikan bahawa lakonan, nyanyian dan gerak tari mereka semua mantap! Yang paling Min suka adalah pentasnya yang berputar-putar, memberikan kesan slow-mo lebih berkesan!

Tapi karya tulisan Lin-Manuel Miranda ini sukar bagi Min, seorang warga Singapura yang tidak begitu peka akan sejarah Amerika, untuk benar-benar memahami dan mempunyai tafsiran tersendiri.

Mungkin kerana mereka menyanyi dan rap dalam muzikal ini. Membuatkan Min agak susah untuk menangkap kata-kata dan mengikut jalan cerita muzikal ini. Kalau ada sari kata, pasti Min dapat mendalami kisah ini dengan lebih mudah.

Selain itu, secara peribadi, Min bukanlah orang yang minat sejarah sangat. Lagi-lagi sejarah negara barat seperti Amerika. Min lebih seronok menonton persembahan teater yang menceritakan sejarah Singapura, ataupun Asia Tenggara. Closer to home, gitu!

Tambahan pula, Min duduk jauuuuuuuuh sekali. Tiket paling murah. Ini juga boleh menjadi salah satu faktor mengapa Min tidak dapat menikmati muzikal ini dengan begitu khusyuk.

Pendapat orang lain

Apabila Min suarakan pendapat bahawa Min tak berapa suka dengan muzikal ini, ada yang sependapat. Mereka tidak faham kenapa muzikal ini begitu popular dan beranugerah. Ada kata ia ‘overhyped‘.

Ada pula yang berkata bahawa sebelum menonton muzikal ini, memang harus tonton muzikalnya di Disney+! Ini dapat membantu anda untuk memahami muzikal ini dengan senang.

Eh? Boleh gitu?

Takde makna beli tiket mahal kalau kenek buat kajian sebelumnya. Kenapa kita sebagai penonton tak boleh pergi dan tonton tanpa sebarang maklumat tentang muzikal ini? Tak kuasa nak tengok pre-show tau.

Ada juga yang kata muzikal ini bukan untuk semua orang. Ah yang ni Min setuju.

Memang lumrah seni begini. Bukan semua orang boleh terima seni yang di depannya. Mungkin inilah yang berlaku kat Min. Meskipun Min suka akan koreografinya, nyanyian lantang para pelakon, aksi, set di pentas dan yang lain-lain, jalan cerita serta keseluruhan kisah Hamilton ini tidak dapat dihadam minda Min.

Bila habis je, angkat kaki terus nak balik sebab penat!

– Pengkritik Sandiwara

Tinggalkan komen