Bawang Putih Bawang Merah dikemaskinikan oleh Ekamatra

Rasa hampa membelenggu tatkala ternampak bentuk tempat duduk serta pentas bagi persembahan Bawang Putih Bawang Merah oleh Teater Ekamatra yang diselenggarakan oleh Esplanade sempena Pesta Raya 2024.

Kenapa? Yelah, sebab di Teater Dermaga Singtel di Esplanade, tempat duduk penonton dan pentas boleh bertukar menjadi pelbagai bentuk. Jadi, sedikit meh apabila pementasan ini mengikut cara duduk yang ‘biasa’ sahaja.

Tapi tidak apa, ini kerana para pelakon serta pasukan di sebalik Bawang Putih Bawang Merah berjaya menghiburkan penonton dengan menghidupkan kisah dongeng Nusantara ini dengan begitu baik sekali!

Siapa tidak kenal dengan kisah ikonik Bawang Putih Bawang Merah, kan? Di bangku sekolah, pasti pernah terbaca buku kisah dua beradik tiri ini yang mempunyai nasib yang berlainan sekali. Bahkan, kisah ini sungguh ikonik sehingga terdapat filem serta beberapa drama tentangnya.

Jadi, apakah kelainan yang Munah Bagharib (sebagai Bawang Putih) dan Nabila Huda (sebagai Bawang Merah) bawa kepada kisah klasik ini?

Pendek kata, karya tulisan Ridhwan Saidi ini dikemaskinikan dengan ideologi yang lebih relevan dan selaras dengan pemikiran masyarakat kini.

Tidak seperti kisah dongengnya, Bawang Merah sebenarnya tidak menikahi anak raja (Rizman Putra). Malah, Bawang Merah bertekad untuk menjelajah dunia untuk meneroka apa di luar sana.

Natijahnya, edisi Bawang Putih Bawang Merah kali ini mengajar penonton tentang harapan, impian, keyakinan diri dan mengawal takdir. Kita sendiri yang dapat memilih bagaimana kita ingin mengolah hidup kita.

Ini dilihat dalam watak Bawang Merah. Meskipun dilanda musibah bertubi-tubi – ayahnya meninggal dunia dan kemudian ibunya (Mak Labu yang dimainkan oleh Aidli ‘Alin’ Mosbit), Bawang Merah cekal dan teruskan kehidupan!

Dan Bawang Putih pula, walaupun telah dihasut oleh ibunya, Mak Kundur (lakonan Siti Hajar Abdul Gani) untuk membenci Bawang Merah, dia akhirnya mempunyai pendirian yang tersendiri!

Bawang Putih juga mencapai cita-citanya (hampir) untuk kahwin dengan anak raja! Tapi dia ngorat dengan Pembesar (Fir Rahman) lah.

Watak Mak Labu dan Mak Kundur pula melambangkan kuasa wanita dalam kisah ini. Tiada suami? No hal! Wanita dari zaman dulu pandai menguruskan hal rumah. Dari segi kewangan hingga ke dapur, mereka tahu semua. Siapa perlukan suami, kan?

Siti Khalijah Zainal sebagai Nenek Kebayan selaku pencerita merupakan sentuhan yang amat bijak sekali. Wataknya bukan sekadar memberitahu penonton apa yang sedang berlaku tapi juga membuat orang ramai tidak kering gusi dengan istilah-istilah moden yang diterapkan dalam kisah purba ini.

Apa yang membuat karya arahan Mohd Fared Jainal lebih menarik adalah pertunjukan patung (puppets) dalam pementasan ini. Ia menambahkan unsur saspens, membuatkan persembahan ini lebih asyik untuk ditonton dengan tatapan visual yang menarik lagi memukau!

Syabas buat pasukan Teater Ekamatra atas persembahan ini. Tak hairanlah sekiranya Bawang Putih Bawang Merah akan seberjaya Bangsawan Gemala Malam!

– Pengkritik Sandiwara

(gambar-gambar: A. Syadiq)

Tinggalkan komen