Tartuffe: The Imposter dedah munafik penunggang agama

Penunggang agama memang sudah lama wujud dalam masyarakat.

Sejauh ini, sebagai seorang Melayu, Min cuma tahu-menahu tentang penunggang agama Islam. Tak kisah lah diorang nak tunggang sebab nak jayakan perniagaan, nak popular, nak rasa syiok ke apa, semuanya sama.

Syok warak demi tujuan masing-masing.

Dalam pementasan Tartuffe: The Imposter oleh Wild Rice, Min terdedah kepada penunggang agama yang bukan Islam.

Rata-rata, semuanya memang sama. Tak kisah agama apa yang ditunggang, asalkan diorang dapat apa yang mereka nak.

Tapi dalam kes Tartuffe ni agak melampau. Kerana dia telah merosakkan kebahagiaan keluarga dan juga negara!

Jadi, apa yang berlaku dalam karya Molière ini?

Watak Orgon (Ivan Heng), seorang ketua keluarga yang telah diangau oleh pelajaran agama Tartuffe (Benjamin Chow). Justeru itu, setiap ahli keluarga harus patuh ajaran Tartuffe yang melampau.

Ini membuat satu keluarga porak-peranda.

Isteri Orgon, Elmire (Jo Tan) kurang setuju dengan cara hidup Orgon yang secara mendadak warak.

Anak-anak Orgon, Damis (Dennis Sofian) dan Mariane (Oon Shu An) cuba membuktikan kemunafikan Tartuffe tapi tewas. Kerana bapa mereka terlalu taksub.

Dorine (Pam Oei), pembantu rumah yang bersekongkol dalam setiap rancangan keluarga ini untuk mendedahkan kebenaran tapi asyik tewas juga.

Puan Pernelle (Shane Mardjuki) merupakan ibu Orgon yang turut taksub dengan Tartuffe tapi watak ni kurang penting.

Setiap ahli keluarga (kecuali Pernelle) cuba membuktikan bahawa Tartuffe adalah seorang munafik dan penipu. Tapi tiap kali mereka cuba mendedahkan perkara ini, pasti Tartuffe ada jalan keluar untuk menjelaskan dirinya.

Dan apabila Orgon akhirnya mendengar bukti-bukti, ia terlalu lambat. Dia telah menghalau anaknya dan mewariskan harta kepada Tartuffe!

Malang sekali, kisah ini tidak berakhir dengan cara baik. Setiap ahli keluarga terima padahnya, terutama sekali Orgon. Dialah pencetus kejadian ini semua.


Meskipun karya Tartuffe ini dihasilkan pada tahun 1664, ia masih relevan hingga kini.

Di mana jua, kita melihat penunggang agama yang mempersia-siakan agama demi kepentingan mereka sendiri.

Baru-baru ini kes di Malaysia tentang penunggang agama (alah yang si dektu yang suruh kopek udang). Ramai warganet sudah ke depan untuk memberitahu perkara sebenar tapi ramai juga yang memilih untuk tidak mendengar nasihat mereka.

Hinggalah pihak berkuasa di Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi! Barulah orang percaya…

Tapi tu lah… kenapa ada segelintir orang senang terpedaya dengan ini semua? Apa cita?

Sekiranya anda bosan dengan rumah terbuka dan ingin hiburan lain, apa kata anda tonton Tartuffe: The Imposter di Funan? Anda boleh dapatkan tiket anda di sini.

Ia akan dipentaskan sehingga 28 April ini.

– Pengkritik Sandiwara

Tinggalkan komen