Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
The Wrong Geng 2.0 kembali ke Esplanade dan kali ini di Studio Annexe sempena Pesta Raya 2022. Ia dipersembahkan pertama kali di Esplanade pada 2018 dalam Joget.
Dalam edisi kali ini, Norhaizad Adam turut menonjolkan kepayahan penari. Dengan hanya memperagakan seluar latex ketat, kita dapat melihat dirinya mula berpeluh satu badan. Ini seolah-olah menanyakan penonton bilakah kerja penari akan dikenali sebagai pekerjaan buruh?
Ini kerana menari memerlukan tenaga dan usaha yang setimpal dengan pekerja yang melakukan kerja-kerja berat. Lagi-lagi mereka membuat persembahan di panas terik matahari dan berlatih berminggu-minggu demi menyempurnakan tugas/projek atau sesebuah persembahan.
Seperti persembahan pada 2018, Norhaizad Adam akan meminta penonton untuk menderma atau memberi tip untuk persembahannya. Tapi, apa yang bezanya kali ini adalah pembayaran menerusi wadah digital.
Tertawa dibuatnya apabila kod QR dikeluarkan dan penonton yang tidak menderma tunai diajak mengeluarkan telefon bijak untuk menderma. Ini melambangkan situasi tatkala dunia dilanda wabak besar Covid-19.
Orang ramai ke wadah dalam talian untuk menikmati persembahan seni, mereka sanggup bayar tiket!
Persembahan intim ini juga mempergunakan multimedia yang dikemaskinikan secara langsung, membuat persembahan ini amat interaktif sekali.
Dalam pada itu, penonton juga dapat lihat evolusi ronggeng atau joget yang pada mulanya sukar diterima masyarakat, tapi lama-kelamaan pelbagai perkara diubah atau dibuang untuk dapat diterima dan diguna pakai umum menerusi pakaian (sekatan) yang muncul secara perlahan-lahan.
Walaupun persembahan dan cara pembayaran sudah melalui perederan zaman, pemikiran umum terhadap seni masih sukar untuk diubah. Ini boleh dilihat dari segi penonton yang terasa teragak-agak untuk menderma, seolah-olah mencerminkan realiti di mana tidak ramai individu yang ingin menghulurkan bantuan kepada institusi seni demi pembangunan seni. Tapi ini sekadar pendapat peribadi iolls je.
Anda masih boleh saksikan The Wrong Geng 2.0 di Esplanade esok (29 Mei, Ahad). Dapatkan tiket anda di Sistic. Terdapat juga banyak persembahan perrrrr sempena Pesta Raya 2022!
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Sistic)