Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Bak kata pepatah, “The show must go on!”
Dan itulah yang dilakukan beberapa syarikat pementasan setempat, W!LD RICE, Singapore Repertory Theatre dan Pangdemonium. Syarikat ini akan meneruskan pementasan mereka yang berlangsung bulan ini meskipun keadaan Covid-19 ini mungkin membuat orang ramai fikir dua kali sebelum keluar rumah untuk beriadah mahupun berhibur.
Bahkan, baru minggu lalu saja W!LD RICE membuka persembahan The Importance of Being Earnest! Suhu badan para pengunjung akan diperiksa sebelum mereka dibenarkan masuk panggung di Funan itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, dikatakan bahawa seni mampu menyatukan orang ramai dalam masa sukar, memperkasa untuk berdepan ketakutan dan meraih kehidupan dan kemanusiaan apabila ia diuji.
Oleh kerana itu, tiga syarikat ini bekerjasama untuk saling membantu dan menyokong usaha satu sama lain untuk teruskan persembahan masing-masing. Iaitu The Importance of Being Earnest, Lifespan of a Fact dan The Son.
Jika anda telah membeli tiket untuk salah satu persembahan yang tertera di atas, anda layak untuk mendapatkan diskaun sebanyak 15% untuk dua lagi persembahan!
CEO Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Rosa Daniel berkata, “Daya tahan industri seni amat penting untuk pertahankan kami sebagai satu masyarakat. NAC memuji semangat perpaduan antara Pangdemonium, Singapore Repertory Theatre dan Wild Rice dalam meneruskan persembahan mereka sambil mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk memastikan keselamatan pengunjung.”
Setiap syarikat ini telah mengambil langkah-langkah berjaga-jaga mengikut panduan Kementerian Kesihatan (MOH) seperti memeriksa suhu badan pengunjung dan pekerja, serta pembersihan yang dilakukan secara lebih kerap.
Pengarah artistik Pangdemonium, Adrian dan Tracie Pang berkongsi, “Mesej pementasan tentang keluarga, hidup dan bagaimana kami mengemudi waktu sukar amatlah tepat dan bermakna pada masa seperti ini. Tujuan teater adalah untuk menyatukan kami di masa yang memecah belahkan, untuk memperkasakan kami apabila lemah, dan untuk mengingatkan bahawa kami harus terus berdepan dengan cabaran.”
“Dengan banyak maklumat kurang tepat mengenai virus ini, penonton pasti akan suka persembahan ini tentang apa yang fakta dan apa yang fiksyen,” ujar Pengarah Pengurusan Singapore Repertory Theatre, Charlotte Nors.
Ivan Heng, Pengarah Artistik Wild Rice pula berkata, “Sepanjang sejarah, teater merupakan tempat di mana masyarakat boleh datang bersama; jadi kami boleh rasa kurang bersendirian di masa sukar seperti ini… Selagi penonton mahukannya dan kami boleh lakukannya, persembahan harus berlangsung!”
Namun begitu, terdapat juga beberapa persembahan yang terpaksa ditangguh.
Stereofest ditangguh hingga suku ketiga tahun ini, manakala The Nuclear Family oleh Checkpoint Theatre pula dianjak sehingga tahun depan.
Jaga diri baik-baik ok? Kita akan hadapi ini bersama!
Kepada anda yang dah beli tiket, pergi jeeee! Nikmati persembahan! Pada masa yang sama, jaga kebersihan diri!
– Pengkritik Sandiwara