Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Kisah dongeng Pinocchio pasti tidak asing lagi, kan?
Jadi, apakah pembaharuan yang boleh Wild Rice bawakan di dalam pementasan akhir tahunnya kali ini?
Sememangnya, walaupun kisah Pinocchio sudah berkalli-kali kita lihat, dengar atau ceritakan kepada orang lain, Wild Rice berjaya menghiburkan penonton dengan versi Pinocchio mereka yang amat mencuit hati!
Dalam Pinocchio oleh Wild Rice yang dibintangi oleh Mae Elliessa, Ebi Shankara, Siti Khalijah Zainal, Dwayne Lau, Michelle Ler dan Vester Ng, penonton diajak menjangkau kisah dongeng kegemaran ramai ini sekali lagi.
Si dewasa pasti rasa seperti kanak-kanak tatkala berada di panggung Funan menonton Pinocchio, manakala si cilik akan rasa begitu terharu dengan hiburan interaktif yang disajikan.
Diarah oleh Pam Oei, kisah Pinocchio ini tidak terlepas daripada tema utamanya iaitu kejujuran, berani dan baik hati.
Watak G-Hopper (Siti K) menjadi teman kepada Pinocchio dalam misi menjadi seorang budak yang baik hati, berani dan jujur agar Pinocchio dapat menjadi seorang budak lelaki yang tulen setelah melengkapi misinya.
Dalam perjalanan tersebut, mereka berdepan dengan pelbagai rintangan yang menguji prinsip Pinocchio. Dua sahabat ini sentiasa berada di sisi masing-masing demi melengkapkan misi dan pada masa yang sama pelajari tentang dunia.
Gambar: Ruey Loon
Kepada ibu bapa yang menonton bersama anak-anak, terdapat segelintir babak di mana ia peluang untuk anda berkongsi dengan si cilik tentang pelajaran penting seperti kejujuran, tidak pentingkan diri sendiri, dengar kata-kata ibu bapa dan banyak lagi.
Dengan lagu-lagu original yang rancak lagi senang untuk diikuti, tidak hairanlah reaksi anak-anak kecil yang berada dalam panggung begitu meriah dan penuh gembira melihat watak-watak berlakon dan menari.
Gambar: Ruey Loon
Kat Spotify dah ada lagu diorang tau!
Melihat kanak-kanak daripada First Stage Kids juga amat menghiburkan! Pasti cair melihat gelagat mereka yang comel sekali.
Daripada set, kostum, efek visual hingga ke koreografi, semuanya serba lengkap membuat Pinocchio sebuah pementasan yang senang untuk dinikmati.
Unsur-unsur budaya pop yang diselitkan menjadikan kisah Pinocchio ini lebih relevan. Sebagai contoh tarian Black Pink, TikTok dan POFMA.
Lakonan Mae Elliessa sebagai Pinocchio dan Dwayne Lau yang menghidupkan watak Blue Fairy patut dipuji. Pinocchio benar-benar kelihatan seperti sebuah boneka hidup manakala aksi dan skrip Blue Fairy membuat penonton tak kering gusi!
Bagi anda yang berminat untuk menonton, anda boleh dapatkan tiket anda di sini. Ajaklah si cilik tonton sempena musim cuti sekolah ini!
Yang takde budak kecik, boleh juga tonton! Pasti anda akan gelak ketawa melihatnya. Ia antara pementasan Wild Rice yang seronok sejauh ini!
Pinocchio akan berlangsung sehingga 24 Disember ini di Wild Rice @ Funan.
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Ruey Loon)