Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Tatkala melangkah masuh panggung Wild Rice yang terletak di Funan, memanglah terpegun melihat set Pulau Ujong / Island at the End. Mestilah, melihat takungan air di atas pentas! Curlass…
Karya Alfian Sa’at ini meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim serta kesannya dengan lebih mendalam lagi. Ini kerana dalam Pulau Ujong / Island at the End, penonton dapat mendekati individu-individu berbeza yang memainkan peranan penting dalam aktivisme mereka.
Setiap seorang mempunyai jalan cerita masing-masing, niat dan sebab tersendiri mengapa mereka begitu giat memeliharakan bumi atau begitu cinta dengan alam semula jadi.
Namun, inilah yang membuat diri saya kurang menikmati pementasan ini.
Setiap kisah seumpama wujud tersendiri, tanpa kaitan antara satu sama lain. Bukan itu saja, ada kalanya kisah ini macam mendengar ceramah di kuliah. Agak… kurang mengasyikkan.
Unsur hiburan dalam pementasan ini tidak begitu ketara. Tapi, ada juga segmen yang membuat penonton lega sikit kerana sketsa agak mencuit hati. Seumpamanya segmen Tok Belang, Inuka (dimainkan Krish Natarajan) & Sharmila (dimainkan Ryan Ang), pokok bawang merah antaranya.
Cuma… apabila segmen hip hop menampilkan watak gambir dan lada hitam, amat mengelirukan ye?
Jangan salah sangka, mesej yang ingin disampaikan melalui pementasan ini pastinya diterima penonton. Banyak yang dipelajari dalam kisah-kisah mereka yang mengongsi tentang perubahan iklim dari sudut yang berbeza. Tapi tu lah, pementasan arahan Edith Podesta ni rasa macam seminar…
Mungkin, ia akan menjadi lebih bermakna sekiranya penonton juga dapat mendengar kisah-kisah tentang perubahan iklim bukan saja dari sudut yang berbeza tapi yang bercanggah. Di manakah suara anti-global warmers (or ape-ape lah nama diorang)?
Sekiranya anda berminat untuk menonton pementasan ala ceramah yang padat dengan maklumat dan berpendidikan, anda boleh dapatkan tiket di Sistic.
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Ruey Loon)