Macam tak percaya melihat Panggung Victoria dipenuhi penonton, tanpa jarak selamat semasa menonton The Glass Menagerie kelmarin.
Sudah tentu, berada di dalam panggung di mana suasananya rasa seolah praCovid mengubah mood, membuat penonton lebih seronok dan khusyuk menonton pementasan Pangdemonium ini.
Sebaik saja menjejak kaki ke panggung, ramai penonton mengeluarkan telefon bijak mereka untuk memetik gambar set megah yang menghiasi pentas.
Sungguh terperinci set yang melengkapkan pengalaman The Glass Menagerie ini, yang mengandungi perabot antik dan tangga usang.
Di saat watak Tom (Jamil Schulze) membuka tirai persembahan dengan percikan api, penonton diajak ke dunia mereka pada zaman 1930an.
Pada mulanya, sukar untuk memahami loghat watak-watak ini kerana mungkin tak terbiasa mendengar loghat Southern. Tapi lama-kelamaan, kedengaran sungguh natural. Malah, memperkasakan lagi lakonan mereka.

Watak si ibu, Amanda Wingfield (Catherine Gardner), menguasai pentas The Glass Menagerie. Seorang yang cukup peramah, selamba tapi ingin yang terbaik buat anak-anaknya, terutama sekali Laura (Inch Chua). Namun, caranya tidak hiraukan perasaan anaknya.
Lakonan Inch Chua sebagai Laura, seorang gadis pemalu, segan dan kurang upaya harus dipuji. Walaupun wataknya tidaklah sebesar Amanda, dia berjaya memukau penonton dan hidupkan watak Laura dengan baik.
Watak Salif Hardie sebagai Jim O’Connor yang muncul selepas waktu rehat meletakkan harapan kepada Laura. Namun apakan daya, Jim sebenarnya sudah berpunya.

Melalui watak Jim, Tom dan Amanda, kita dapat lihat bagaimana kesemua orang di sekeliling hidup Laura ingin menolong atau memperbaiki keadaan Laura. Malangnya, mereka tidak pernah pun bertanyakan perasaan Laura.
Secara keseluruhan, persembahan ini sebuah pementasan yang bermakna dan kekal relevan. Sehingga hari ini, masih wujudnya ibu bapa yang berfikiran bahawa seandainya mereka mencari jodoh untuk anaknya, segala masalah anaknya akan diberi kepada pasangannya.
Sekiranya watak Tom sering ke panggung wayang untuk mencari pengembaraan, ia sebenarnya cara untuknya melarikan diri dari realiti. Ini amat ketara sekali pada zaman ini di mana kita sering taksub dengan socmed atau permainan dalam talian sebagai escapism.
Lakonan barisan pelakon juga amat mengkagumkan sekali dan penuh keserasian. Tipulah kalau hati-hati gadis di Panggung Victoria tak remuk bila tengok Salif Hardie bercumbuan dengan Inch Chua! Kan?
Jika anda ingin tonton, anda boleh dapatkan tiket anda di sini. The Glass Menagerie berlangsung hingga 27 Mac.
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Pangdemonium)
[…] kejayaan pementasan The Glass Menagerie, Pangdemonium kini kembali dengan satu lagi persembahan yang mencuit hati, segar dan […]
LikeLike