Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Antara pementasan Inggeris yang terkenal di dalam dan luar Singapura, Emily of Emerald Hill, kembali menghibur penonton.
Siapa tidak tahu karya ikonik tulisan Stella Kon ini?
Kali ini, watak Emily dihidupkan di pentas baru W!LD RICE yang terletak di Funan.
Siapa lagi yang akan memainkan watak nyonya ini jika bukan pengasas pengarah artistik syarikat ini sendiri, Ivan Heng?
Pertama kali ‘bertemu’ dengan Emily pada 1999, Ivan sekali lagi memainkan watak Emily.
Walaupun pementasan ini hanya mengetengahkan seorang watak yang tertera di atas pentas, lakonan hebat Ivan Heng membuat penonton benar-benar terasa bahawa watak-watak lain benar-benar ada bersama mereka.
Malah, penontonlah watak kedua yang wujud secara fizikal dalam persembahan ini! Menjadi rakan yang mendengar di mana Emily sering mengadu.
Lakonanya yang amat mencuit hati, kadang kala mendebarkan, membuat penonton di tingkat atas ingin menjenguk ke pentas. Ada yang terpaut di pagar sepanjang pementasan! Atau… tempat duduk di panggung ini sempit?
Telatahnya yang spontan membuat penonton lebih suka dengan watak ini. Terutama sekali apabila Emily “memarahi” seorang penonton kerana lambat ke panggung akibat road block F1! Kesian wei laki tu… tapi lucu!
Di situlah Emily berjaya memecahkan dinding ke-4. Wataknya bermesra dengan penonton tidak kira mereka yang berada di atas mahupun di bawah. Yang seronok sekali, apabila semua orang disuruh menyanyikan lagu “Happy Birthday” dengan penuh semangat. Macam betul-betul di parti besdae! Tapi, mestilah penonton di hadapan dapat layanan istimewa! Mereka ada sesi menjahit selimut lagi!
Bukan itu saja, ada #promo buat filem pengarah, Glen Goei, apabila Emily menyebut tentang filem Pontianak! Gitew! Dah habis tonton pementasan boleh singgah GV kat atas tengok Remy Ishak pulak eh?
Apa yang kurang senang mengenai pementasan ini adalah busana blaus hitam dipadankan dengan skirt putih yang tak siap(?). Macam janggal sungguh! Yang lain semua merecik, sis!
Emily of Emerald Hill merupakan sebuah kisah yang rapat sangat dengan semua wanita. Tidak kisah ibu atau anak, pasti wanita di luar sana dapat merasakan perasaan hati Emily.
Seorang wanita yang ingin terbaik untuk keluarganya dan sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan kebahagiaan demi keluarga. Belajar dari kesilapan, berkorban maruah, dan macam-macam lagi untuk keluarga tersayang.
Emily of Emerald Hill berjaya menimbulkan pasang surut dan realiti kehidupan seorang wanita sehingga dia sendiri menjadi matriarch dalam keluarga itu. Hampir segala harapan dan impiannya musnah, tapi setelah sedar bahawa jangkaan terhadap orang lain tidak boleh diharapkan sangat, barulah Emily dapat mencari ketenangan dalam dirinya.
Semestinya, ia sebuah karya yang sesuai ditonton oleh semua. Tepukan gemuruh yang diberi penonton memang berhak sekali buat Ivan Heng dan pasukan W!LD RICE yang telah menjayakan pementasan ini!
Kepada anda yang tak sempat beli tiket, tak perlu risau! Boleh pinjam buku yang sama di perpustakaan awam. Jadi tak perlu FOMO…
⭐️: 5/5
– Pengkritik Sandiwara