Jalan Ampas merupakan sebuah drama yang mengisahkan tentang seorang gadis, Musalmah yang teringin sangat menjadi seorang pelakon pada masa era kegemilangan perfileman Melayu Singapura dahulu. Malangnya, cita-citanya tidak tercapai kerana bapanya yang tidak mahu anaknya menjadi seorang pelakon. Tambahan pula, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau untuk hilang ingatan sehinggakan tidak tahu namanya sendiri.
Beberapa puluh tahun berlalu dan Musalmah mula mengingati masa zaman mudanya dahulu. Ini kerana dia terlibat dalam satu LAGI kemalangan yang menyebabkan ingatannya kembali walaupun hanya samar-samar. Musalmah mula mencari identiti beliau yang sebenar dengan pertolongan drebar peribadinya dan juga seorang pakar hipnosis. Adakah Musalmah akan berjaya mengingati dirinya yang sebenar, iaitu Murni?
Secara jujur, saya tidak tahu. Kenapa? Kerana saya berhenti mengikuti drama ini setelah habis menonton episod kedua. Di bawah adalah faktor-faktor mengapa saya berhenti menonton drama ini.
Terlalu banyak unsur imbas kembali (flashback).
Jarak waktu yang tidak begitu realistik.
Kegemilangan Jalan Ampas berlaku pada tahun 1950/60-an. Dan drama ini berlaku pada masa kini. Mengikut kiraan saya, jika si watak Musalmah berusia ~20 tahun pada zaman kegemilangan Jalan Ampas, maknanya dia akan berusia 60/70 tahun sekarang. Namun, watak Musalmah kelihatan seperti berusia lewat 50an. Lihat sahaja seniwati-seniwati kita, bukankah mereka semua sudah tua hahaha (I’m so mean, but you get my point)
Pelakon utamanya, Hashimah Hamidon yang memainkan watak Musalmah juga memainkan watak Mak Janda di dalam drama Mengejar Mentari 2. Ini membawakan kekeliruan dalam diri saya hahaha. Pelakon Jeff Catz juga berlakon dalam drama ini dan Mengejar Mentari 2. Untuk membingungkan lagi para penonton, Jalan Ampas ditayangkan pada hari Selasa dan MM2 pada hari Rabu. Dua hari secara serentak. Konpius. Macam lah Suria tak ada pelakon lain.
Adegan serius yang membuat saya tergelak.
Musalmah mendapatkan rawatan hipnosis untuk mengingati waktu mudanya. Saya berpendapat bahawa babak-babak di mana Musalmah mendapatkan rawatan hipnosis sungguh dramatik dan kelakar. Saya tidak begitu tahu akan rawatan hipnosis, tetapi, adakah ia berkesan dan adakah ia dilakukan seperti mana ia dilakukan di dalam drama ini???
Peristiwa mendadak.
Suami Musalmah mati akibat serangan jantung (saya rasa) dalam episod pertama. Saya tak suka sekali jika ada kematian yang berlaku terlalu awal dalam sesebuah drama. Dia juga merakamkan video untuk mendedahkan segala rahsia yang disimpan. Belum sempat dia menghabiskan rakamannya itu, dia pun meninggal dunia. Cliché?
Drama ini merupakan drama SG50. Patutlah.
Oleh disebabkan faktor-faktor di atas, I’d like to give this drama a (jalan am)pass. Secara keseluruhan, ia amat membosankan, terlalu mendadak dan dramatik bagi diri saya.
Bagi yang mengikuti drama ini, adakah anda berpuas hati dengan kesudahan drama bersiri ini? Apakah yang membuat anda untuk terus menonton drama ini?
Untuk pengetahuan anda, terdapat peraduan Ratu Kebaya yang dianjur oleh Suria sempena drama ini. Haha. Saya tak kisah pun. Dan saya tahu awak pun tak kisah.
– Pengkritik Sandiwara
(Photos are from Suria’s Youtube/Toggle/Facebook)