Air Da Tohor antara pementasan yang Min amat nanti-nantikan untuk Pesta Raya tahun ini.
Apakan tidak, sebagai pengikut oranglautsg di Instagram, akhirnya mereka membawa daya usaha pelestarian dan budaya Orang Laut serta Orang Pulau ke sebuah pentas yang amat berprestij!
Pelestarian dalam bentuk seni
Dipersembahkan di Recital Studio Esplanade, Air Da Tohor mengongsi pelbagai adat istiadat, budaya, tatatertib orang asli (indigenous) Singapura menerusi seni.
Diterajui oleh Firdaus Sani dan Asnida Daud, kedua-duanya keturunan Orang Pulau, mereka menceritakan tentang kehidupan keluarga mereka yang pernah menghuni kawasan perairan Singapura yang dahulu dianggap rumah.

gambar: Bernie Ng, ihsan Esplanade – Theatres on the Bay
Penonton bukan sekadar dapat dihiburkan melalui kisah-kisah ini tetapi dididik tentang seni Orang Laut seperti bubu, silat gayong, mantera untuk ke laut, juadah dan sebagainya.
Air Da Tohor seumpama muzium yang hidup pada waktu malam, bertindak sebagai sebuah jendela di mana penonton mengintai kehidupan masyarakat Orang Laut.
Amatlah meremang bulu roma iolls tiap kali Asnida Daud bersuara tau. Penjiwaan mantap sangat!
Semestinya, penonton pulang dengan ilmu baru yang akan mereka semat dan sebarkan kepada warga Singapura yang lain kerana kita semua Orang Pulau Temasek.
Pupusnya budaya dek ‘berpindah’
Dalam pada itu, Air Da Tohor mengemukakan isu yang amat serius dan berat sekali.
Budaya Orang Laut/Pulau semakin tidak dipraktikkan bukan kerana orang-orangnya tidak ingin lagi melestarikannya.
Ini kerana ia amat terhad untuk melakukannya. Ye lah, mereka yang bergantung kepada laut disuruh pindah dari tempat yang mereka rasa amat selamat sekali.
Ini menyebabkan tradisi untuk hilang secara perlahan-lahan. Juadah mereka kini berbeza, gaya hidup terpaksa bertukar, bahasa pula tidak digunakan sekerap kerana berhidup majmuk.
Pemerintah dalam pemeliharaan
Ini belum lagi isu tentang pihak berkuasa yang cuba menyekat kegiatan mereka di laut meskipun merekalah yang pakar tentang hal laut.
Tambah pula usaha-usaha untuk ‘melindungi’ perairan Singapura tetapi pada masa yang sama, program menambak tetap jalan. Hmm…
Adakah hak mereka akan didengar oleh pihak berkuasa? Mungkinkah mereka disambut baik seperti kaum-kaum lain di Singapura? Betapa keras harus mereka bekerja untuk mendapat balik hak mereka sebagai keturunan Orang Laut/Pulau?
Secara terus terang, Min rasa teater amatlah wadah yang sesuai untuk secara perlahan-lahan mengenalkan budaya yang hampir hilang ini ke orang ramai. Semoga ia akan terus dikekalkan dalam pelbaga bentuk dan cara!
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Bernie Ng, ihsan Esplanade – Theatres on the Bay)