Salam sejahtera, para pembaca setiaku!
Menonton Rindu Di Bulan di Esplanade kelmarin membuat Min tertanya-tanya, apakah kaitannya watak mitos Cina Chang’e dengan kisah keluarga Melayu?
Selama menonton persembahan anjuran Pesta Pinggiran Singapura M1 (M1SFF 2022) ini, penonton diajak untuk meneka tema atau perkara yang menghubungkan dua kisah yang amat berbeza dari segi budaya, lokasi, agama, realiti dan macam-macam lagi. Mengapakah dua kisah langit dan bumi ini disatukan?
Karya Rupa co.lab ini membentangkan kisah fantasi dan realiti dalam satu pentas. Lakonan Suhaili Safari sebagai Chang’e dan Faridah amatlah menarik sekali atas sebab perbezaan ketara kedua-dua watak yang dibawanya.
Manakala percubaan pertama Iskandar Shah di panggung teater pula juga membuktikan bahawa dirinya bukan saja seorang pelakon yang hebat di TV, tapi juga seorang pelakon teater yang berbakat lagi versatil! Terimbas pulak zaman Anugerah Skrinnya!
Sudah tentu, lakonan penggiat seni teater Suhaila M Sanif dan Wan Haddad membuatkan seni tulisan Raimi Safari ini lebih meyakinkan.
Rindu Di Bulan meneroka isu cinta yang tiada batas. Cinta antara ibu angkat dan anak angkat serta cinta antara seekor arnab dan tuannya.
Tak kisahlah apa rintangan yang mencabar mereka, cinta mereka taat abadi.
Cuma, Min agak tertanya-tanya. Tahun bilakah kisah Azim dan Maknya berlaku? Isu tiada borang/sijil merasmikan Azim sebagai anak angkatnya seoleah-olah perkara yang mungkin biasa dua dekad lalu? Mungkin Min salah.
Secara keseluruhan, Rindu Di Bulan sebuah kisah cinta penuh cabaran yang tidak dapat dielakkan. Tapi kerana rasa cinta itu begitu besar sekali, mereka dapat atasi konflik yang dialami mereka.
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Zaki Zain)