Kopi, coffee, caffè, ngopi.
Apabila saya masuk ruang teater, saya terus menyesal. Ini kerana aroma kopi agak kuat. Dan sebagai seorang yang tidak boleh tahan bau kopi, saya rasa loya sekali dan sedikit pening. Dan saya tahu bahawa saya bakal muntah! Namun, pada penggemar kopi, pasti mereka arasa tenang atau tersenyum apabila menghidu aroma minuman harum ini yang menolong mereka bersengkang mata pada malam-malam mereka perlu melakukan sebuah tugas.
Walaupun bau kopi agak kuat, saya menepiskan kegangguan itu dan memberi perhatian kepada unsur-unsur lain di dalam panggung Blackbox NLB itu. Saya terpegun melihat tempat duduk yang dikhaskan untuk penonton. Penonton tidak disuruh duduk di tempat duduk biasa, malah mereka diajak duduk di atas “kayu-kayu” ataupun “kotak”yang dihiaskan bersama beg-beg guni yang diisi biji-biji kopi. Bukan itu sahaja, para penari Kow Xiao Jun, Hasyimah Harith, Ismail Jemaah, Emmanuelle Martin dan Galih Mahara telah pun berada di pentas sebelum waktu persembahan. Mereka sedang mengatur/memeriksa biji-biji kopi. Dan apabila terdapat biji-biji kopi yang terlepas daripada genggaman mereka, mereka akan berhenti dan meletakkan biji-biji (rejected ones saya rasa) itu di tepi. Pada babak ini, mereka seolah-olah hamba-hamba yang bekerja siang dan malam semata-mata untuk mendapatkan biji-biji kopi.
Pada mulanya, saya kurang faham dengan babak-babak dalam persembahan ini. Terdapat juga gerak tari di mana mereka memukul bonton mereka sendiri. Adakah ini lambang kopi luak? Di mana biji-biji kopi ini didapati oleh najis binatang? Hmm…
Setelah itu, terdapat adegan di mana mereka ini melambangkan jenis-jenis kopi di mana mereka diberi markah berdasarkan rupa, bau dan rasa. Saya berpendapat bahawa adegan ini amat lucu dan menarik sekali. Dan mulai babak ini, barulah saya memahami lebih tentang persembahan ini.
Seterusnya, para penari ini menukar menjadi barista di kafe hipster. Mereka mengenalkan menu-menu menarik dan pada yang sama menceritakan kisah-kisah yang mungkin tidak diketahu orang ramai. Seperti biji-biji kopi yang dipetik oleh hamba-hamba atau kanak-kanak, serta kekerasan terhadap binatang. Setelah itu, penonton disajikan kepada cara membuat kopi melalui ASMR! Everybody loves some ASMR realness!
Menarik sekali, untuk menutup tirai, para penari memberitahu penonton bahawa kafe mereka akan tutup tidak lama lagi dan meminta kerja sama penonton untuk kosongkan kafe ini. Pada mulanya, penonton Nampak hairan dan tidak tahu sama ada ini sekadar lakonan atau memang betul-betul dah habis eh??? Hmm..
Secara terus terang, saya suka dengan konsep persembahan ini serta gerak tari yang dipersembahkan. Tetapi, pada mulanya, saya agak keliru dan kurang faham akan jalan ceritanya. Lama-kelamaan, barulah isu-isu yang dikemukakan lebih ketara. Ia merupakan satu cara yang kreatif untuk meningkatkan kesedaran akan kekejamandi sebalik proses pembikinan kopi. Seperti penghambaan, pekerja bawah umur, dan penderaan binatang. But we been knew. Saya sangkakan bahawa persembahan Ngopi, yang diarah dan direkatari oleh Norhaizad Adam ini akan menceritakan asal-usul kopi atas sebab nama yang dipilh. Ini kerana saya baru sahaja belajar tentang etimologi kopi di sekolah dan ia begitu menarik sekali. Terdapat peperangan dan isu maruah di sebalik kopi ini. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa budaya yang tidak suka dengan take-away coffee, so saya sangkakan bahawa Ngopi akan mengetengahkan isu-isu seperti ini. Walaubagaimanapun, saya amat terhibur melihat persembahan ini!
– Pengkritik Sandiwara