Old Chang Kee baru-baru ini mencetuskan perbincangan hangat di media sosial selepas memperkenalkan menu khas Hari Raya: lontong bersama kari chap chye.
Namun, siaran promosi tersebut tidak bertahan lama — ia telah dipadam selepas ramai warganet Melayu/Islam Singapura memberi reaksi terkejut beruk terhadap gabungan yang dianggap luar biasa itu.
Ramai mempersoalkan, mengapa tidak kekal dengan istilah “kuah lodeh”? Dan apakah sebenarnya kari chap chye?
Walaupun siarannya sudah tiada, lontong versi OCK ini masih boleh didapati di beberapa cawangan terpilih. Antara lokasi yang masih menyajikan hidangan ini termasuk cawangan di No. 19 Mackenzie Road, Our Tampines Hub, Tanjong Pagar Plaza, dan Perpustakaan Negara, menurut laman everydayonsales.
Pasukan Pengkritik Sandiwara yang mencuba sendiri juadah ini di Perpustakaan Negara pada 4 April, melaporkan bahawa sebenarnya hidangan itu masih ada dan poster juga tertera di kedai!
Rasanya pula tidak jauh berbeza dengan lontong biasa — hanya kuahnya sedikit lebih pekat dan berkari, dengan tambahan crispy tofu skin yang memberi sentuhan berbeza kepada sayur-sayuran seperti tauhu, kubis, kacang panjang, dan lobak merah – yang biasa didapati dalam kuah sayur lodeh.

Persoalannya kini, kenapa promosi ditarik balik (di socmed) jika hidangan ini masih dijual? Dan adakah ia akan kekal hingga akhir bulan seperti yang dirancang?
Tidakkah OCK menjaga sensitiviti kaum Melayu, lagi-lagi pada musim Hari Raya? Adakah mereka ingin memadam kulinari Melayu yang kaya ini?
Ini bukan kali pertama makanan tradisional Melayu mendapat perhatian kerana pendekatan moden atau gabungan tidak konvensional. Tahun lalu, Prata Wala menerima kritikan selepas memperkenalkan “set nasi ambeng” yang dikatakan kurang mencerminkan keaslian hidangan tersebut.
Apa pun, lontong ‘kari chap chye’ Old Chang Kee ini pasti akan terus menjadi bahan bualan — sekurang-kurangnya sehingga perayaan ini tamat.
Sejauh ini, Old Chang Kee belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi.


