The Troupe dedah pandangan berbeza isu pelarian

Rasa serba salah serta dilema membelenggu diri habis saja menonton pementasan The Troupe oleh Birds Migrant Theatre, sebahagian daripada Pesta Pinggiran Singapura M1 (M1SFF).

Isu pelarian tidak sejelas hitam putih

Apakan tidak, pementasan yang mengupas isu pelarian — relevan dalam dunia yang sedang bergelora dengan peperangan — membentangkan topik ini dari pelbagai sudut, memberikan kupasan yang menyeluruh, padat, serta bermaklumat sambil mengekalkan gaya persembahan santai dan menghiburkan.

Tidak dinafikan bahawa isu pelarian bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani oleh sesebuah negara.

Banyak pihak terlibat, malah negara penerima pelarian juga sering menghadapi risiko jangka panjang.

Setiap pihak ada cerita mereka

Dalam The Troupe, perspektif yang pelbagai diterokai: mereka yang mengalu-alukan pelarian, yang ingin mengusir mereka, yang bersimpati tetapi tidak berdaya bertindak, yang mempergunakan isu pelarian untuk kepentingan politik, serta pelarian sendiri.

Gambar: The Birds Migrant Theatre

Setiap kisah yang dibawakan berhak diceritakan dan didengari, dengan setiap watak memegang prinsip dan pandangan yang tersendiri.

Dalam karya tulisan bersama Zilani, Sugiarti Mustiarj dan Deni Apriyani ini, The Troupe membentangkan naratif-naratif yang bukan sekadar mengundang empati tetapi juga mencetuskan refleksi mendalam tentang realiti yang kompleks.

Penggunaan media menarik

Dari segi penceritaan, penggunaan media pelbagai menjadikan The Troupe lebih dinamik.

Penonton disajikan dengan lakonan yang menyentuh jiwa, sketsa ala Instagram dan TikTok yang menyerupai vlog realistik, serta unsur wayang kulit dengan sentuhan moden.

Penggabungan bentuk seni ini mencipta pengalaman menonton yang dekat dengan realiti masa kini, di mana banyak daripada kita di Singapura hanya menyaksikan krisis pelarian menerusi media sosial.

Penataan visual dan persembahan penuh kreativiti ini mempamerkan kehebatan Birds Migrant Theatre dalam mencipta teater yang merangsang minda, menyentuh perasaan, dan mencetus perbincangan.

Menarik sekali, barisan pelakon yang terdiri daripada Zilani, Deni Apriyani, Rina Hakim, Phone, Farah Hajan dan Wiwi Tiri, menghidupkan pelbagai watak dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Burma, Bengali, Bahasa Indonesia dan Bahasa Indramayu!

Refleksi diri

The Troupe berdiri sebagai karya yang perlu ditonton, mengingatkan kita akan tanggungjawab kemanusiaan yang sering disisihkan.

Di akhir pementasan arahan bersama Haresh Sharma dan Serena Ho ini, sama ada anda seorang yang percaya akan menerima pelarian mahupun ingin melindungi diri daripada pelarian, anda pasti dapat memahami pihak lain dengan lebih mendalam lagi.

Gambar: The Birds Migrant Theatre

Anda boleh menyaksikan The Troupe pada 19 Januari. Tiket boleh didapati di sini. Untuk maklumat lanjut mengenai M1SFF 2025, sila layari laman rasmi mereka.

Dengan keberanian bercerita dan persembahan yang jujur, The Troupe bukan sekadar pementasan — ia adalah jeritan keinsafan yang bergema dalam jiwa, memanggil kita untuk bertanya: dalam dunia yang penuh batas sempadan ini, di manakah letaknya hati nurani manusia?

One comment

Tinggalkan komen