Rindu makan lontong

Hari ini segenap seminggu kita beraya. Kalau tahun-tahun yang lalu, hujung minggu dikhaskan untuk rumah terbuka atau Open House. Di rumah terbuka ni lah kita sering disediakan makanan Raya oleh tuan rumah.

Salah satu hidangan yang harus ada ialah lontong. Juadah kegemaran orang ramai tibanya Syawal, kan? Pelik sekali, tahun ini saya merindui lontong. Jangan salah anggap, memang saya dapat menikmati juadah ini pada malam Raya. Lengkap dengan serunding, sambal goreng pengantin dan untuk mengasyikkan lagi, campur dengan sambal pedas ayam masak merah. Fuh! Bak kata orang Melayu kita… MELOKEK!

.

Tapi tu lah, saya cuma menikmati satu jenis lontong saja. Iaitu lontong versi bonda tersayang. Dalam situasi Covid-19 sekarang, tak dapat kita kunjung-mengunjungi seperti biasa. Oleh itu, tak dapat saya cekik lontong-lontong lain. Lontong Nenek, lontong Cik, lontong Nek Busu, lontong Nek Long dan sebagainya.

Walaupun hidangannya sama, setiap lontong itu amat berbeza sekali. Memanglah lontong tu sekadar kuah lodeh penuh dengan sayur dan tahu yang membanjiri ketulan nasi saja, tapi setiap rumah mempunyai lontong yang enak secara tersendiri. Bukan itu saja, ada keistimewaannya masing-masing!

Ada rumah tu kalau kita cedok kuah lontong ternampak telur sebijik, ada yang letak cendawan enoki. Ada pula diiringi dengan lauk yang kita dapat kat rumah tu saje. Ayam rendang, udang sambal, sotong dan sebagainya. Natijahnya, setiap rumah mempunyai variasi dan stail rendang yang tersendiri. Dan secara terus terang, saya rindu makan pelbagai lontong pada musim Raya. Sebab sebagai anak Melayu Singapura, lontong merupakan antara unsur yang menyemarakkan lagi Raya. Tanpa bau aroma lontong, takde mood lah nampaknya.

.

Yang paling saya simpati adalah mereka-mereka yang terpaksa memesan lontong daripada restoran atau khidmat katering tahun ini sebab keluarga mereka memang tak masak lontong time Raya. Cuma bila pergi rumah nenek atau atok je baru diorang dapat lantak juadah kuning ni! Kesiannya tak dapat home-cooked lontong!

Malangnya pada tahun ini, sebelum tengahari Raya kedua, lontong dah habis. Kesian…. Selalunya Raya kedua masih menziarahi dan masih nikmati lontong sampailah larut malam. Walaupun dalam jumlah yang sedikit. Mungkin dua ketul lontong saja. Agar tidak menyinggung hati tuan rumah apabila mereka menjemput makan. Tak sampai hati nak cakap, “tak apalah, dah kenyang makan kat rumah Cik Enon tadi”. Jadi, untuk mengekalkan perhubungan baik antara keluarga yang kita jumpa setahun sekali ni… kita korbankan perut kita sikit. Lagipun… lontong serta juadah lain yang dimasak mereka sedap so… no hal!

.

Bahkan, rumah terbuka yang dianjurkan pada hari ke-25 Syawal pun tetap ada lontong! Pada masa yang sama, juadah lain juga ada untuk mereka-mereka yang dah jelak dengan lontong. Sebagai tuan rumah open house, korang masak apa?

Ini menimbulkan persoalan… Adakah istilah ‘tuan rumah’ itu gender neutral?

Ini kerana kita sering menggunakan istilah ini untuk merujuk kepada pemilik rumah ataupun host yang mengendalikan rumah terbuka. Walaupun perkataan ‘tuan’ itu merujuk kepada kaum Adam, mungkin frasa ‘tuan rumah’ telah merubah maknanya? Apa pendapat anda?

Apa yang menarik sekali tentang budaya makan orang Melayu adalah bagaimana kita sering menggalak tetamu untuk membawa pulang lauk-pauk. Bukan masa Raya saja, kenduri dan majlis perkahwinan pun kita dah sediakan lauk yang dah dibungkus untuk diberi kepada tetamu.

Jika dibandingkan dengan budaya lain, ada budaya yang menyatakan bahawa jika kita tak habiskan makanan, itu bermakna kita tak suka apa yang disaji. Manakala ada yang menganggap sekiranya kita habiskan makanan, itu bermaksud tuan rumah tak beri cukup makanan.

Namun, dalam budaya Melayu (dari pengalaman saya sendiri), kita sering disuruh tambah nasi dan ambil lauk lagi. Jangan makan sikit saja. Tak pernah saya tak habis makan di rumah orang. Ini kerana kita mengawal berapa banyak kita makan. Nasi kita senduk sendiri, lauk kita pilih mana yang kita nak dan berapa banyak kita nak. Jadi, kita sendiri yang tentukan berapa banyak kita nak makan. Bukan tuan rumah. Dan yang paling saya suka sekali ialah kita dapat bungkus kalau ada belen lebih!

.

Ini menunjukkan bahawa orang Melayu sebagai tuan rumah bukan sekadar nak kenyangkan perut para tetamu apabila mereka berada di rumah mereka, sehinggakan mereka ingin pastikan tetamu mereka kenyang sampai ke rumah! Oh betapa indahnya budaya Melayu ini.

Saya berharap budaya sebegini akan terus kekal sehingga bila-bila. Kerana melihat balik bagaimana orang Melayu kita melayan tetamu semasa rumah terbuka membuat saya menghargai betapa intimnya perhubungan kita bersama keluarga (yang jauh mahupun dekat) dan boleh kita extend this culture towards budaya lain!

And yes, saya masih rindu lontong. Bukan lontong sarapan ok!! ITU BASIC!!!

Oh yes. Saya tak cakap pasal lontong kering. It’s nice but, why? Makan dengan kuah lah lagi best!

Pengkritik Sandiwara


Terima kasih kerana membaca CURHEART pertama saya! Ini merupakan pandangan/pendapat peribadi saya mengenai sesuatu isu. Mungkin saya akan luahkan tentang penggunaan perkataan N dalam kalangan golongan Melayu setempat pula dalam CURHEART seterusnya!
Apa itu CURHEART? CURHEART (disebut curhat) atau Curahan Hearty merupakan penulisan di mana saya bincangkan isu semasa atau topik random yang dekat di hati saya di lelaman ini. Agar anda semua dapat mengenali saya dengan lebih mendalam lagi. 🙂

1 comments

Tinggalkan komen