Tak pernah saya keluar panggung semasa filem dimainkan tapi begitulah keadaannya semalam apabila saya menonton Magik Rompak di pawagam Golden Village.
Setelah sejam menonton filem Magik Rompak ini, saya rasa sungguh bosan dan keliru sehinggakan saya membuat keputusan untuk keluar panggung dan lupakan hasrat untuk menonton filem ini hingga ia tamat.
Bukan apa, pada permulaannya saja sudah agak menjengkelkan. Terlalu banyak dialog yang menceritakan tanpa aksi. Selalunya, filem mementingkan unsur ‘show, not tell’ tapi filem arahan Adrian Teh ini memerlukan saya menggunakan imaginasi saya apabila barisan pelakon menceritakan teori-teori pelbagai tanpa visual.
Selain itu, penggunaan bahasa yang agak baku dan formal amat pelik sekali. Tidak boleh dinafikan bahawa pelakon A-lister seperti Zul Arrifin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar cuba menyampaikan dialog mereka dengan sebaik mungkin tanpa kelihatan janggal tetapi skripnya seolah-olah telah dikemaskinikan oleh ChatGPT. Terlalu… kemas!
Tambahan pula, penonton dikenalkan kepada agak ramai watak selain empat watak utama ini. Ada Tan Sri dan Puan Sri, anak kepada Tan Sri, rakan kongsi, mamat Indonesia dan ramai lagi. Ini tidak termasuk anak yatim-piatu dalam filem ini.
Memanglah filem ini ‘Magik Rompak’ tapi mana unsur realismenya? Teknologi mencuri yang digunakan dalam filem ini nampak seperti terlalu convenient untuk memudahkan jalan cerita? Ada watak boleh cipta ilusi tembok, ada boleh keluar dari cermin dan sebagainya.
Oleh kerana saya tidak tonton hingga habis, saya tiada komen lain. Sama ada plot twist gempak di akhir cerita membuat pengalaman menonton filem ini berbaloi atau tidak, saya tidak pasti.
Kalau keluar Netflix mungkin saya akan tonton dengan 1.5x speed.
Sekiranya anda ingin tonton Magik Rompak, ia sedang ditayangkan di pawagam Golden Village di Singapura.
