Beberapa minit sebelum jam 8 malam, suasana di luar panggung Star Vista atau gelaran Melayunya “Bukit Bintang Temasek” – agak sunyi dan mencetuskan rasa hairan.
Kebiasaannya, kalau ada konsert, pastinya kawasan luar dewan sudah mula sesak dengan peminat. Dari tingkat dua pusat membeli-belah itu pun sudah boleh nampak barisan orang ramai yang berpakaian cantik, selari dengan tema acara, tidak sabar untuk menyaksikan artis pujaan mereka.
Namun, untuk konsert ByAjai & Mega Friends, suasananya nyata berbeza.
Bila dah lepas pemeriksaan keselamatan pun, kawasan sekitar kaunter merchandise dan poster langsung tidak meriah – tiada barisan panjang, tiada penonton berpusu-pusu untuk bergambar. Saya boleh terus ke depan tanpa perlu menunggu giliran!
Dalam hati saya sempat terlintas, “Wow! Semua orang masuk awal ke? Patutlah tak nampak sesiapa. Bagus juga, disiplin penonton kita.”
Tapi sangkaan saya meleset.
Kehadiran penonton yang kurang memberangsangkan
Sebaik sahaja masuk ke dalam dewan, saya terus terperanjat.
Tempat duduk di tingkat atas langsung ditutup – walhal tempat tersebut dijual tau? Tambahan pula, banyak kerusi kosong yang tidak dipenuhi penonton walaupun jam telah melepasi 8 malam.
Ada desas-desus yang mengatakan beberapa pemegang tiket diberi ‘upgrade‘ percuma untuk berpindah ke tempat duduk lebih dekat dengan pentas.
Namun, lantai pertama pun masih tidak penuh. Apabila bertanya kepada kakitangan di situ sama ada boleh berpindah ke kerusi kosong di hadapan, kami tidak digalakkan berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu. Kenapa? Tidak dinyatakan. Hairan juga.
Lepak Bapak ‘rosakkan’ mood?
Penonton hadir untuk menonton persembahan Ajai bersama barisan artis hebat seperti Asmidar, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip, Hazama dan Thalita.
Namun, Lepak Bapak, sekumpulan podcasters, yang menjadi pembuka acara ternyata kurang sesuai dengan suasana sebuah konsert berskala besar.
Jam sudah melewati 8 malam, tetapi persembahan dimulakan dengan segmen celoteh oleh kumpulan ini. Tujuannya mungkin untuk menghidupkan suasana, tetapi apa yang berlaku sebaliknya – suasana jadi janggal dan penonton seolah-olah terpaksa menunggu tanpa arah – menurut saya.
Secara peribadi, saya rasa kumpulan ini lebih sesuai sebagai podcaster sahaja, bukan hos untuk acara seperti ini. Terlalu ramai yang ingin mengendalikan mikrofon dan inginkan airtime, menyebabkan fokus penonton terganggu – tak tahu nak pandang siapa, nak dengar siapa.
Jenaka mereka pula diulang-ulang, tidak segar dan langsung tidak menghiburkan. Malah ada unsur colourism yang diketengahkan. Tahun 2025 dah ni – sudah-sudahlah. Kita boleh jadi lucu tanpa merendah-rendahkan orang lain.
Kalau ini standard podcast Melayu Singapura yang popular, ia amat memerlukan refleksi semula.
Ajai & Mega Friends tetap power!
Walau apapun kekurangan dari segi sambutan dan sesi pembukaan, kehebatan barisan penyanyi dan pemuzik di pentas Star Theatre tidak dapat disangkal.
Konsert dimulakan dengan persembahan bertenaga oleh Ajai sendiri menerusi lagu-lagu seperti S.O.T. (Semua Orang Tahu) dan Aku Lebih Tahu.
Beliau kemudiannya menjemput rakan-rakan artis naik ke pentas untuk mempersembahkan karya ciptaannya yang pernah melonjakkan kerjaya mereka.
Antara detik mengesankan termasuk:
- Hazama, Hafiz Suip, dan Asmidar, yang masing-masing menghidupkan karya-karya yang menjadi ‘signature’ dalam kerjaya mereka.
- Dayang Nurfaizah dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta, sebuah lagu yang kekal menjadi permintaan peminat hingga kini.
- Persembahan menyentuh hati oleh Thalita, anak kepada arwah Siti Sarah dan Shuib, yang mendendangkan lagu Kesetiaan dengan suara merdu yang membuat ramai penonton agak emotional.
Thalita turut mengumumkan bahawa single pertamanya bakal dilancarkan tidak lama lagi, hasil ciptaan Ajai – sesuatu yang dinanti-nantikan.
Duet ikonik & sentuhan magis Ajai
Ajai bukan sahaja mencipta lagu-lagu solo, tetapi turut menghasilkan banyak duet ikonik. Antara yang dipersembahkan malam itu ialah:
- Keliru (Ajai & Nurul) yang dinyanyikan bersama Asmidar malam semalam
- Hati Ini Telah Dilukai, asalnya duet bersama Kris Dayanti, tetapi dinyanyikan secara LIVE bersama Aina Abdul – satu persembahan penuh emosi.
Interaksi mesra antara Ajai dan para artis – cara mereka memanggilnya “Abang“ dan cara mereka berbual di atas pentas – menunjukkan betapa tingginya rasa hormat terhadap maestro ini.
Jelas bahawa bekerja dengan Ajai dianggap satu penghormatan besar, dan konsert ini menjadi bukti bahawa kesan Ajai dalam industri muzik Malaysia amat mendalam.
Konsep kurang menarik
Namun begitu, satu perkara yang agak mengecewakan ialah konsep persembahan yang terlalu sederhana.
Formatnya agak berulang: Ajai berbual sedikit tentang artis, artis muncul, nyanyi dua lagu gitu, selesai.
Dengan harga tiket yang mahal, penonton pasti mengharapkan sesuatu yang lebih kreatif atau sinematik – mungkin naratif atau visual yang lebih dramatik?
Kenapa tiket tak laku?
Sayangnya, konsert ini tidak mendapat sambutan hangat. Berikut adalah sebab-sebab yang saya sendiri fikirkan:
- Tiket terlalu mahal
Saya sudah ulas dalam artikel terdahulu – harga tiketnya tinggi dan tidak semua orang mampu. - Kurangnya pengenalan terhadap Ajai sebagai komposer
Di Malaysia, Ajai dikenali sebagai pencipta lagu-lagu hebat. Tetapi di Singapura, ramai hanya mengenalinya sebagai penyanyi. Justeru, bila dengar nama “Ajai”, mereka tidak terus kaitkan dengan lagu-lagu popular artis lain. - Promosi yang tidak menyentuh sasaran
Walaupun promosi bermula sejak penghujung tahun lepas, mungkin pendekatannya tidak cukup kuat untuk menyampaikan mesej siapa sebenarnya Ajai dan mengapa konsert ini wajar ditonton.
Pengajaran buat penganjur akan datang
Semoga konsert ini menjadi pengajaran berguna buat mana-mana penganjur luar yang ingin membawa konsert ke Singapura:
- Lakukan kajian pasaran (marketing research) dengan teliti.
- Fahami siapa sasaran penonton korang.
- Jangan segan bertanya dan bekerjasama dengan pihak tempatan untuk pendekatan promosi yang lebih berkesan.
- Harga tiket yang tak over
Malam nostalgia yang tetap bermakna
Secara keseluruhan, konsert ini tetap memberi pengalaman emosi yang luar biasa – penuh dengan nostalgia, kegembiraan, dan kesedihan yang menyentuh jiwa.
Walaupun ada kekurangan dari segi konsep dan sambutan, kehebatan Ajai sebagai penggubah lagu serta persembahan rakan artis tetap menjadikan malam itu sesuatu yang tidak akan dilupakan.
