Wild Rice Supervision: apabila tempat kerja rasa seperti penjara

Min pernah tonton Supervision ketika tempoh pemutus litar (circuit breaker), apabila Wild Rice mengambil daya usaha untuk menayangkan beberapa pementasan mereka secara dalam talian. Akhirnya, dapat juga menyaksikannya secara langsung benar-benar memberi impak yang berbeza!

Sejurus melangkah masuk ke panggung Wild Rice, penonton seolah-olah dibawa masuk ke dunia ciptaan Thomas Lim, selaku penulis.

Reka bentuk pentas yang ringkas – menggambarkan sebuah rumah kecil – sudah cukup untuk menyampaikan suasana kehidupan dua insan berbeza latar: seorang warga emas dan pembantu rumahnya. Premis ini menubuhkan asas naratif yang menelusuri perbezaan kuasa dan latar belakang dalam ruang kediaman yang tertutup namun sarat emosi.

Apa yang menjadikan Supervision lebih menyerlah dan mendalam ialah unsur visual yang pintar – paparan CCTV secara langsung di skrin. Kaedah ini bukan sahaja menambah unsur realisme, malah turut mencerminkan pengawasan keterlaluan yang sering kali berlaku dalam kehidupan sebenar, terutama dalam konteks pembantu rumah di bandar moden.

Yanti mengajak Teck berjalan
Gambar: Ruey Loon

Kisahnya mengenai Yanti (dilakonkan oleh Amirah Yahya), seorang pembantu rumah dari Indonesia yang cuba menjalankan tugasnya sebaik mungkin dalam menjaga Teck (Julius Foo), seorang lelaki tua yang uzur. Hubungan antara mereka tampak biasa, tiada apa yang luar biasa, namun tetap penuh keikhlasan dan kemanusiaan.

Jenny in the block…

Yang mengeruhkan suasana adalah Jenny (Janice Koh), anak perempuan Teck, yang terlalu curiga dan terlampau berhati-hati – sehingga sanggup memasang CCTV di setiap sudut rumah tanpa pengetahuan ayahnya mahupun Yanti.

Jenny menegur Yanti
Gambar: Ruey Loon

Bagi Jenny, pembantu rumah harus sentiasa diperhati, dikongkong, dan dikawal – seolah-olah tidak layak diberi ruang sebagai manusia yang merdeka. Pandangannya mencerminkan pemikiran segelintir majikan yang merasakan bahawa setelah membayar ribuan dolar kepada agensi, mereka “memiliki” pembantu rumah sepenuhnya – hak dan maruah diketepikan.

Supervision dengan berani mengangkat isu ini, menjadikannya sebuah karya yang bukan sahaja relevan, tetapi juga penting dalam konteks sosial hari ini. Ia mencabar kita untuk merenung kembali bagaimana kita melayan mereka yang berada dalam posisi kurang kuasa – dan sejauh mana kita membenarkan “pengawasan” mengambil alih kemanusiaan.

Erti Supervision

Pendek kata, tajuk Supervision ini sebenarnya permainan kata. Ia bukan sekadar bermaksud pemantauan tetapi super + vision.

Super = melakukan sesuatu dengan melebih, mempunyai kuasa terhadap seseorang

Vision = melihat

Dalam konteks ini, Jenny bukan sekadar supervise tetapi menggunakan kuasa supervision untuk mengawal gerak-geri Yanti.

Amirah Yahya menyerlah dalam penampilan sulungnya di pentas Wild Rice. Lakonannya terasa begitu semula jadi dan penuh keyakinan – menjadikan Yanti seorang watak yang mudah disayangi dan difahami. Julius Foo pula memberi keseimbangan yang tenang, sementara Janice Koh tampil dengan persembahan yang berani dan emosional. Lebih mengagumkan apabila mengetahui bahawa Janice baru sahaja pulih daripada barah lidah – suatu pencapaian yang patut diraikan, apatah lagi dengan persembahan sekuat ini.

Jika anda berpeluang menyaksikan Supervision, bawalah hati yang terbuka – dan mungkin juga sepaket tisu. Ia adalah kisah dalam sebuah rumah kecil, tapi dengan gema yang besar terpahat dalam hampir setiap insan.

Sekiranya anda ingin membaca ulasan Supervision 2020, klik di sini.

Supervision berlangsung sehingga 12 April.

Tinggalkan komen