Pesta Pinggiran Singapura M1 kembali menggugah jiwa

Pesta Pinggiran Singapura M1 (M1SFF) kembali lagi tahun ini dengan tema yang penuh makna dan relevan—pemindahan, dari segi masyarakat, tanahair, diri sendiri mahupun persekitaran—yang bakal menjadi nadi penceritaan setiap pementasan.

M1SFF2025 mempersembahkan karya-karya berani dan provokatif, mengetengahkan isu-isu kemanusiaan yang menggugah minda. Dua produksi yang mencuri perhatian kami adalah Eclipse dan The Troupe.

Eclipse

Karya Haresh Sharma, Eclipse, mengisahkan perjalanan seorang lelaki Singapura yang menuju ke Hyderabad, Pakistan, tanah kelahiran bapanya. Kisah ini mencerminkan pengalaman perpindahan yang dilalui jutaan jiwa, termasuk keluarga watak utama, sewaktu pemisahan India dan Pakistan pada tahun 1947. Melalui penceritaan yang merangkumi tiga generasi, Eclipse memaparkan perjuangan, harapan, dan impian mereka, memberikan perspektif yang lebih intim terhadap kisah-kisah bersejarah.

Gambar: Tuckys Photography

Pementasan ini menampilkan lakonan memukau oleh Shrey Bhargava dengan Sveta Kilpady menyumbangkan vokal indah kepada persembahan ini.

Tarikh: 15 hingga 18 Januari
Lokasi: Practice Space, The Theatre Practice

The Troupe

Kumpulan teater Birds Migrant Theatre kembali dengan naskhah penuh jiwa yang membedah isu-isu semasa seperti peperangan, krisis pelarian, dan cabaran kemanusiaan di tengah tragedi. The Troupe membawa kisah orang-orang yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka, tetapi tetap gigih membina harapan dan masa depan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat mereka.

Gambar: Birds Migrant Theatre

Karya ini menjadi peringatan tentang ketabahan manusia dalam mengharungi keperitan perpindahan paksa.

Tarikh: 12 dan 19 Januari
Lokasi: Practice Space, The Theatre Practice

Selain dua pementasan ini, M1SFF turut mempersembahkan pelbagai pementasan menarik dari 8 hingga 19 Januari, termasuk WePushTheSky, The End of Winter, I Am Seaweed, Commission Continua, dan Dancing With The Ghost of My Child.

Setiap karya menawarkan perspektif unik tentang pengalaman pemindahan dan kemanusiaan.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan festival yang kaya dengan emosi dan pemikiran ini. Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, kunjungi laman web rasmi M1SFF.

2 comments

Tinggalkan komen