SIX: Konsert muzikal yang gegarkan sejarah

Sebuah muzikal? Tidak juga! SIX adalah sebuah konsert yang sebenarnya amat gah dan gempak!

Sebelum Min melangkah ke Sands Theatre, terus terang Min memang tak tahu langsung apa-apa tentang pementasan ini.

Pada mulanya, Min fikir ia sekadar muzikal untuk kanak-kanak—mungkin kisah dongeng ala-ala Disney Princesses, kan? Tapi semuanya berubah apabila Min ternampak sebuah video yang menjelaskan bahawa SIX mengisahkan enam wanita luar biasa: isteri-isteri kepada Raja Henry VIII.

.

Setiap ratu ini memiliki kisah hidup (atau lebih tepat, kisah kematian) yang mencabar, tragik, dan penuh intrig. Menariknya, pementasan ini mempersembahkan naratif mereka dalam bentuk konsert pop yang penuh dengan irama, warna, dan tenaga.

Memang lain daripada yang lain—sungguh vazz, betul tak?

Tenaga tiada tandingan

Tak sampai seminit konsert bermula, Min sudah terpesona. Enam bintang utama ini menguasai pentas dengan vokal luar biasa, koreografi bertenaga, dan persona yang memikat.

Sepanjang hampir 90 minit, penonton disajikan dengan kisah setiap ratu, di mana setiap satu mendedahkan rahsia dan pengalaman hidup mereka bersama Raja Henry.

Dari Catherine of Aragon hingga Catherine Parr, setiap persembahan membawa penonton ke era Renaissance dengan sentuhan moden—penuh jenaka sinis, lirik pedas, dan gaya diva.

Pendek kata, ini bukan hanya hiburan semata-mata; SIX juga boleh dianggap sebagai kelas sejarah interaktif yang menggambarkan norma cinta, kuasa politik, dan kedudukan wanita pada zaman itu.

Dan yang paling menarik, konsert ini menutup tirai dengan cara yang unik: penonton diminta memilih siapa antara keenam-enam wanita ini yang layak dinobatkan sebagai “isteri terbaik” kepada Raja Henry. Tapi, spoiler alert—wanita-wanita ini punya jawapan mereka sendiri!

Kuasa wanita

Apa yang menjadikan SIX benar-benar istimewa adalah semangat feminisme yang meresap ke seluruh produksi. Bukan sahaja keenam-enam penyanyi di pentas menghidupkan watak-watak mereka dengan penuh karisma, bahkan band muzik yang mengiringi persembahan ini juga terdiri daripada wanita!

Jadi, jika anda peminat tema kuasa wanita, SIX wajib masuk dalam senarai tontonan anda. Lagu-lagunya seperti “Ex-Wives”, “Don’t Lose Your Head”, dan “Get Down” pasti akan terngiang-ngiang di kepala anda lama selepas tirai ditutup.

Dapatkan tiket!

Muzikal-konsert yang memenangi pelbagai anugerah ini berlangsung di Sands Theatre, Marina Bay Sands, hingga 1 Disember 2024. Dapatkan tiket anda di Sistic, dan jangan lupa untuk dengar lagu-lagu mereka di Spotify terlebih dahulu.

Percayalah, anda akan keluar dari teater dengan perasaan puas dan inspirasi!

SIX bukan sekadar muzikal. Ia adalah perayaan wanita, sejarah, dan seni yang menggabungkan semuanya dalam sebuah pengalaman luar biasa. Jadi, anda tunggu apa lagi?

Tinggalkan komen