Foreign Bodies dedah kesukaran bercinta

Salam sejahtera, para pembaca setiaku!

Menonton Foreign Bodies semalam membuat airmataku menitis apabila tersedar akan mesej yang terlintas dalam fikiran.

Kisah yang dikongsi dalam pementasan Pesta Pinggiran Singapura M1 ini menyentuh hal perhubungan antara pekerja asing yang terjebak dalam situasi yang mungkin sering dihadapi dua orang yang saling mencintai.

Namun, oleh kerana status mereka sebagai pekerja asing, peristiwa ini merumitkan keadaan dan mereka terpaksa lupakan perhubungan yang telah mereka jalinkan.

Jadi, apakah masalah yang Ani (Deni Apriyani) dan Arif (AK Zilani) patut rintangi ini?

Sekian lama bercinta, Ani dapati dirinya hamil. Hampir kesemua orang dalam kehidupan mereka ingin mencari jalan penyelesaian buat mereka berdua.

Ani dan Arif, gambar: Birds Migrant Theatre

Majikan Ani, rakan-rakan Arif serta Ani semua memberi pendapat masing-masing. Tetapi, tidak kisahlah apa nasihat yang diberi oleh orang di sekeliling, mereka berdua tetap tidak boleh hidup bersama kerana undang-undang di Singapura tidak membenarkannya.

Kenapa dua orang yang saling mencintai antara satu sama lain tidak boleh menikah dan menikmati kebahagiaan rumah tangga di Singapura semata-mata status mereka sebagai pekerja asing? Mengapa mereka dikecualikan? Adakah status mereka jauh lebih rendah berbanding pekerja asing yang bekerja di sini sebagai seorang expat?

Lihat saja Paya Lebar, pada hari-hari biasa ia dipenuhi pekerja asing yang bekerja dalam sektor berkolar putih manakala pada hujung minggu, ia menjadi satu medan pesta untuk pekerja asing yang sering dipandang serong oleh masyarakat.

Foreign Bodies berakhir dengan beberapa babak what ifs – apa akan terjadi sekiranya Ani membawa Arif pulang ke Indonesia? Apa akan terjadi jika Ani pulang tanpa Arif? Apa pula jika mereka ke Bangladesh?

Pada pendapat saya, karya arahan Haresh Sharma dan Serena Ho ini tiada penutup kerana kisah ini akan terus berlaku dalam kalangan pekerja asing sekiranya pihak berkuasa tidak bercampur tangan dalam hal ini. Ini kerana punca masalah bukanlah daripada individu yang melakukan kesalahan tapi kelemahan dalam undang-undang Singapura yang tidak menyebelahi pekerja asing.

Setelah meninggalkan teater di Esplanade Annexe ini, saya menanyakan soalan ini pada diri saya. Apa terjadi kepada “love is love”?

– Pengkritik

(Gambar header: Birds Migrant Theatre)

Tinggalkan komen