No Man’s Land: Siapa ajar lelaki jadi begini?

Apakah ertinya untuk menjadi seorang lelaki?
Bagaimanakah seorang anak jantan harus kendalikan dirinya?
Siapa yang tahu isi hati seorang jejaka?

Advertisements

Itulah antara persoalan yang dibongkar dalam pementasan No Man’s Land, karya Danial Matin terbitan The Necessary Stage, yang membawa penonton menyusuri isu-isu kejantanan dengan pendekatan yang jujur, tajam dan kadangkala menyakitkan.

Pementasan ini mengetengahkan perhubungan antara ayah dan anak lelaki. Seorang ayah bukan sahaja bertanggungjawab mengajar anaknya menjadi ‘lelaki’, tetapi dalam masyarakat patriarki, anak itu juga sering dijangka untuk menjadi ‘lebih lelaki’ daripada ayahnya.

Lalu, bagaimana pula dengan anak lelaki yang membesar tanpa figura seorang bapa? Apakah dia akan terkapai-kapai mencari acuan kelelakiannya sendiri? Adakah dia akan kekal sebagai man-child yang tidak tahu memimpin, tidak tahu bila dan bagaimana untuk ‘man up‘?

Gambar: Tuckys Photography

Pementasan ini turut mengupas imej kelelakian yang sering digarap oleh masyarakat. Daripada cara berjalan, cara berbual, hinggalah gaya penampilan.

Soalnya, bila sebenarnya seorang lelaki menjadi lelaki? Adakah selepas tamat perkhidmatan negara (NS)? Selepas tumbuh kumis? Atau saat pertama kali dia ‘menemui diri’ melalui sesi onani, yang barangkali tidak disengajakan?

Advertisements

Dengan arahan bersama oleh Alvin Tan dan Sim Yang Ying (YY), No Man’s Land turut menelanjangkan sisi gelap yang wujud dalam hampir setiap kaum Adam: gaslighting, mansplaining, manspreading, main character syndrome, dan ya, admin Telegram group.

Masihkah anda ingat akan sebuah kumpulan Telegram yang menyebarkan gambar-gambar wanita? Apa akan terjadi sekiranya salah seorang lelaki dalam kumpulan tersebut menimpa nasib yang sama seperti mangsa-mangsa dalam kumpulan Telegram itu?

Kesemua ini diterjemahkan dengan begitu berkesan oleh barisan pelakon yang mantap iaitu Michael Tan, Neo Hai Bin, Shahizman Sulaiman, Suhaili Safari dan Vishnucharan Naidu. Setiap seorang membawa lapisan emosi tersendiri yang meruntun, mencuit dan mengganggu jiwa.

Gambar: Tuckys Photography

Penonton juga dihidangkan dengan tarian yang begitu mengasyikkan. Terutamanya oleh Shahizman dan Vish, hasil sentuhan pereka tari Hafeez Hassan, yang pada pendapat saya berjaya mentafsirkan persahabatan ala “‘no homo’ antara homies”.

Salah satu detik paling menarik adalah sewaktu intermission, apabila watak Shahizman seumpamanya memecah tembok keempat dan bercakap terus kepada penonton. Ia bukan sekadar untuk humor atau interaktif, tetapi satu bentuk naratif reflektif yang merangkum makna babak sebelumnya dan memudahkan pemahaman bagi penonton yang mungkin tenggelam dalam simbolisme yang terlalu abstrak buat mereka.

Ini amat berguna dan bermakna bagi penonton yang sukar menggapai makna tersirat dalam sesebuah pementasan. Dengan begini, ini membuat seni lebih senang untuk dihargai sekali gus lebih seronok untuk dinikmati.

Advertisements

Kejutan turut hadir di penghujung pementasan apabila semua watak lelaki duduk dan berbincang akan pelbagai watak yang dilakonkan Suhaili, satu-satunya pelakon wanita dalam pementasan ini. Melalui persembahannya, kita menyedari bahawa walau sekecil mana pun peranan seorang wanita dalam hidup lelaki, kesannya seringkali sangat besar. Membentuk, mencabar, menyembuhkan.

Gambar: Tuckys Photography

Adegan ini seolah-olah bertanyakan apakah lelaki tanpa wanita?

No Man’s Land bukan sekadar pementasan, ia seolah terapi kolektif untuk lelaki dan sesi renungan untuk semua yang ingin memahami mereka. Bak kata orang, it’s an intervention. Or whatever.

Sebagai sebuah karya seni, ia telah membuka pintu perbualan yang selama ini terkunci di hati para lelaki., dan barangkali, juga membuka jalan untuk mereka menjadi lelaki yang lebih jujur, lebih sedar, dan lebih berani untuk menjadi diri sendiri.

Advertisements

No Man’s Land ialah cermin yang sepatutnya kita semua berani tenung. Dan semoga pada masa hadapan, cermin ini tidak diperlukan lagi.

No Man’s Land berlangsung hingga 15 Jun ini di Studio Teater Esplanade. Anda boleh dapatkan tiket di sini.

Oh yes, satu lagi perkara yang membuat No Man’s Land sebuah pementasan yang harus anda saksikan ialah sari katanya.

Tatkala menonton pementasan ini, saya lebih tertarik dengan cara sari kata yang tertera di skrin yang terletak di atas. Begitu kreatif sekali ia dipancarkan untuk mencerminkan adegan, mood dan perasaan yang sedang bermain pada ketika babak tersebut.

Advertisements

Mereka menggunakan visual yang menarik dan interaktif untuk membuat pengalaman membaca sari kata lebih inklusif dan dramatik, dengan cara ia disajikan. Yang pasti, ia sebuah karya seni!

3 comments

Tinggalkan Jawapan kepada [Theatre Review] No Man’s Land by The Necessary Stage: Soapbox Contestations | Isaac Tan Batal balasan