Identiti dan Bollywood: kisah Hafidz Rahman di panggung

Pada awalnya, saya agak keliru apabila persembahan My Name is (NOT) Khan membuka tirai dengan kisah rakan Hafidz Rahman — seorang wanita India — yang mengalami krisis identiti akibat rasisme dalaman. Ini kerana saya melangkah masuk ke panggung dengan jangkaan yang berbeza: bahawa saya akan menyaksikan sebuah pementasan yang penuh dengan tawa, nostalgia dan kegilaan Hafidz terhadap dunia filem Bollywood.

Advertisements

Namun, jangkaan saya ternyata terlalu cetek. Apa yang saya saksikan jauh lebih mendalam dan menyentuh hati.

Gambar ihsan Esplanade – Theatres on the Bay

My Name is (NOT) Khan bukan sekadar surat cinta kepada Bollywood, tetapi juga sebuah curhat tentang pengalaman menjadi “orang cokelat keemasan” di Singapura. Pementasan ini menyingkap isu dwistandard yang sering dialami masyarakat minoriti – bagaimana stereotaip, identiti dan perwakilan (representation) boleh membentuk, malah mencalar jati diri seseorang.

Advertisements

Dalam pementasan ini, Hafidz dengan begitu lancar menenun kisah peribadinya bersama pengetahuannya tentang dunia perfileman India. Dari era Sridevi hingga ke zaman Deepika Padukone, dari skrip ikonik ke koreografi rancak – semuanya seolah muscle memory baginya.

Malah, bukan hanya Bollywood; dia juga menyentuh filem Tamil, Malayalam, Telugu dan lainnya – memperlihatkan betapa mendalam cintanya terhadap budaya ini.

Gambar ihsan Esplanade – Theatres on the Bay

Bahagian yang paling menyentuh bagi saya ialah apabila Hafidz mengimbau saat mula jatuh cinta dengan Bollywood – ketika masih kecil, duduk di sisi arwah neneknya, terpaku melihat kelibat Sridevi di kaca televisyen. Momen itu disampaikan dengan penuh kasih, menggambarkan bagaimana dunia filem boleh menjadi ruang perlindungan, penghiburan dan penemuan identiti.

Monolog Hafidz juga amat menghiburkan. Ia terasa seolah-olah kita sedang berbual dengan seorang kawan lama yang tidak kekok untuk bercerita panjang — tentang filem, tentang keluarga, tentang kehidupan. Dia bernyanyi, menari, berjenaka dan bercerita tanpa segan silu. Penonton ketawa bersama, tetapi dalam masa yang sama, turut tersentuh apabila cerita-cerita ini menyentuh isu peribadi dan sosial yang lebih berat.

Advertisements

Namun begitu, ada beberapa momen di mana punchline yang digunakan terasa sedikit ‘kitar semula’. Ini mungkin kerana mengingatkan saya akan watak Bonda Bedah yang sudah sinonim dengan Hafidz dan mungkin tidak lagi memberi kejutan yang sama. Ia tidak mencacatkan persembahan, tetapi sedikit mengurangkan impak kerana jenaka itu sudah dijangka.

Set rekaan pentas pula cukup terperinci, lengkap dengan ruang dapur yang membawa unsur kejutan pada awal pementasan – apabila Hafidz benar-benar menumis bahan-bahan untuk membuat samosa dan semerbak bau masakan memenuhi panggung! Namun, babak itu tidak dikembangkan sepenuhnya sepanjang pementasan, yang agak sayang kerana ia berpotensi mengukuhkan lagi unsur sensori dalam pengalaman teater ini.

Gambar ihsan Esplanade – Theatres on the Bay

Apa pun, My Name is (NOT) Khan merupakan pementasan yang berjaya menyatukan hiburan dan kesedaran sosial dalam satu persembahan yang jujur, segar dan sangat peribadi.

Bagi peminat Bollywood — tak kisah minat gila atau hanya penonton filem mainstream — anda pasti akan terhibur, malah mungkin akan melihat semula dunia filem itu dari kaca mata yang berbeza. Yang pasti, balik rumah pasti akan dengar lagu Hindustan!

Pementasan ini merupakan sebahagian daripada Pesta Raya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mei di Esplanade. Pelbagai lagi acara menarik menanti anda di Pesta Raya 2025.

Advertisements

Tiket bagi My Name is (NOT) Khan masih boleh didapati di Sistic!

Tinggalkan komen