Siti Nurhaliza bakal gegar Singapura November ini sempena 30 tahun dalam industri

Biduanita Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dijangka mengadakan konsert istimewa di Singapura pada bulan November ini sebagai sebahagian daripada sambutan 30 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Maklumat awal mengenai konsert jelajah ini dikongsi secara tidak rasmi pada hari terakhir acara Siti Nurhaliza 30th Anniversary yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini. Berdasarkan hantaran di X/Twitter, Siti turut merancang untuk mengadakan konsert dua malam di Genting Highlands pada bulan Julai dan seterusnya ke Indonesia pada bulan September.

Untuk peminat setia di Singapura, ini merupakan peluang keemasan menyaksikan ikon muzik Nusantara itu secara langsung, kalau dah terlepas konsert sebelumnya di Bukit Bintang Temasek (Star Theatre) tahun lepas.

Walaupun tarikh dan lokasi konsert Singapura masih belum diumumkan secara rasmi, para peminat dinasihatkan untuk mula bersedia dari sekarang – simpan duit dan freekan seluruh bulan November!

Menambahkan lagi keterujaan, khabar angin turut mengatakan bahawa Siti bakal melancarkan sebuah album tradisional terbaru pada bulan Disember, menandakan kemunculan semula genre yang sangat sinonim dengan beliau.

Jadi buat peminat Siti di Singapura — masa untuk berjimat dan bersiap sedia, kerana apabila tiket mula dijual, pasti laris macam goreng pisang panas!

Tinggalkan komen