A Doll’s House, Part 2: pementasan berani mengusik minda

A Doll’s House, Part 2 bukan sekadar sebuah pementasan biasa—ia sebuah karya yang mencabar pemikiran dan menuntut penonton untuk berfikir lebih dalam.

Pementasan oleh Pangdemonium yang saya tonton pada 9 Mac di Panggung Victoria ini mengangkat tema, isu, dan perwatakan yang cukup dekat dengan masyarakat Asia, khususnya masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Pelik sekali, isu-isu ini jarang dibincangkan secara terbuka.

Kembali untuk cerai

Ambil contoh watak utama, Nora Helmer (dimainkan oleh Jo Kukathas), yang kembali selepas 15 tahun menghilang—bukan untuk berjumpa keluarga, tetapi untuk menuntut penceraian yang sebenarnya tidak pernah berlaku!

Nora dan Torvald bersua setelah 15 tahun tidak bersemuka.
Gambar: Crispi Pang

Kehidupannya menjadi semakin kusut apabila dia mengetahui bahawa dia masih sah sebagai isteri kepada Torvald Helmer (Lim Kay Siu). Ini meletakkan Nora dalam dilema besar—bukan sahaja dari sudut undang-undang tetapi juga dari segi moral dan sosial.

Lebih mengejutkan, dia boleh dianggap sebagai seorang penjenayah kerana menjalankan perniagaan tanpa pengetahuan suaminya.

Double standards?

Di sinilah pementasan ini menyentuh satu persoalan yang sering diabaikan: mengapa seorang wanita yang meninggalkan suami dan anak dianggap keterlaluan, tetapi apabila seorang lelaki melakukan hal yang sama, ia dianggap biasa?

Istilah seperti absent father diterima tanpa banyak persoalan, seolah-olah ia sesuatu yang lumrah dalam masyarakat.

Di mana kasih sayang seorang ibu?

Hubungan Nora dengan anaknya, Emmy Helmer (Rebecca Ashley Dass), juga menambah lapisan drama yang menarik. Dalam norma masyarakat, seorang ibu dan anak perempuan sepatutnya mempunyai ikatan kasih sayang semula jadi—tapi dalam pementasan ini, tidak. Mereka berinteraksi dengan cara yang profesional, dingin, dan hampir tanpa emosi.

Watak Emmy mencadangkan jalan penyelesaian bagi masalah ibunya, Nora.

Gambar: Crispi Pang

Secara keseluruhannya, A Doll’s House, Part 2 menawarkan satu cerminan tajam terhadap ketidakseimbangan jantina dalam masyarakat. Apa yang berlaku jika peranan diterbalikkan? Adakah kita akan melihatnya dengan perspektif yang sama?

A Doll’s House, Part 2 akan berlangsung di Panggung Victoria hingga 23 Mac ini. Tiket boleh didapati di sini.

Tinggalkan komen