Eclipse tonjol perpisahan tiga generasi

Memanglah sebuah persembahan yang menakjubkan.

Tiga watak lelaki – anak, bapa, dan datuk – bukan sahaja terhubung melalui darah dan persaudaraan, tetapi juga terbelenggu oleh kenangan pahit perpisahan India dan Pakistan pada tahun 1947, dan hanya dilakonkan seorang pelakon.

Dalam karya tulisan Haresh Sharma berjudul Eclipse ini, penonton disajikan dengan pandangan yang begitu menyentuh hati tentang bagaimana sejarah dan trauma perpisahan itu mewarnai tiga generasi yang berbeza secara berbeza.

Gambar: Tuckys Photography

Cerita tiga generasi

Kisah mereka – meski berakar daripada peristiwa yang sama – sebenarnya unik bagi setiap generasi.

Anak muda melihat dunia melalui kacamata yang lebih optimis, terus ke depan di negara baru iaitu Singapura.

Manakala si bapa dihantui oleh pergolakan identiti dan kenangan yang tidak pernah benar-benar lenyap. Tidak ingin menceritakan hal-hal yang terjadi di kampung halamannya di Hyderabad.

Datuk pula mencerminkan suara masa lalu yang penuh luka dan kesal. Merindui keluarga yang ditinggalnya.

Perjalanan emosi yang dilalui setiap watak menunjukkan bagaimana usia dan peredaran masa mempengaruhi cara mereka menghadapi perpisahan dan kehilangan.

Alunan suara merdu

Satu unsur yang benar-benar memberikan kesan dalam monolog Eclipse ini ialah alunan suara merdu Sveta Kilpady. Iringan vokal tradisionalnya yang penuh perasaan menyelimuti kisah yang disampaikan oleh Shrey Bhargava, menambah dimensi emosi yang lebih mendalam dan mencengkam jiwa penonton.

Gambar: Tuckys Photography

Suara itu bukan sekadar latar – ia menjadi nadi yang memacu penceritaan ke arah kesyahduan yang sukar dilupakan.

Simbolisme ketara

Di bawah arahan teliti A. Yagnya, visi pementasan ini menonjolkan dengan jelas bagaimana persepsi setiap watak terhadap peristiwa bersejarah tersebut membentuk hidup mereka dengan cara yang rumit. Penggunaan simbolisme yang halus tetapi penuh makna membuatkan pementasan ini terasa dekat dan relevan.

Sebagai contoh, hubungan romantik antara watak anak dengan teman lelaki Muslimnya berfungsi sebagai metafora yang tajam bagi hubungan antara India dan Pakistan. Mereka saling menyayangi, saling memerlukan, dan sering berdiri bersama – namun, mereka terpisah oleh sempadan agama dan politik. Bukankah itu satu pemerhatian yang menarik dan penuh ironi?

Keseluruhannya, pementasan The Necessary Stage ini bukan sekadar sebuah kisah tentang perpisahan, tetapi satu renungan tentang identiti, warisan, dan pengaruh sejarah dalam kehidupan peribadi.

Dengan gabungan lakonan penuh tenaga, arahan yang jitu, dan alunan suara yang meruntun perasaan, ia memberikan pengalaman teater yang memikat dan akan terus bermain di fikiran penonton lama selepas tirai dilabuhkan.

Anda masih boleh saksikannya pada jam 8 malam nanti!

Eclipse merupakan sebuah persembahan sebahagian daripada Pesta Pinggiran Singapura M1. Untuk maklumat lanjut tentang M1SFF, lungsuri lelaman rasmi mereka.

Tinggalkan komen