“Dan aku Kahar, Kapla High Council!”
Namun, persoalannya: siapakah Kahar sebenarnya?
Filem Kahar: Kapla High Council hadir sebagai prekuel kepada drama popular Projek High Council, bertujuan menjawab misteri yang menyelubungi watak Kahar. Dalam drama asal, dia tampil sebagai seorang yang berpengaruh dan digeruni, tetapi filem ini mengupas perjalanan panjang dan mencabar yang membentuk dirinya.
Kahar ingin keluar dari bayang-bayang
Kisah bermula dengan Kahar (lakonan Amir Ahnaf), yang pada bulanya sering dipanggil Binya, hidup dalam bayang-bayang keluarganya. Abangnya, Beja (Aedy Ashraf), seorang Ketua Pengawas yang menguasai High Council, menjadi perbandingan yang menyakitkan hati.
Di samping itu, statusnya sebagai anak kepada seorang alumni tersohor menambah tekanan untuk mengukuhkan reputasi keluarga dalam asrama tersebut.
Namun, Kahar menolak untuk terus berada di bawah bayang-bayang abang serta ayahnya. Dia ingin membuktikan bahawa dia bukan sekadar “adik Beja” atau “anak alumni hebat.”
Kahar mahu menjadi seseorang yang berdiri atas kekuatannya sendiri—seseorang yang tidak akan dibuli oleh bapanya, abangnya, mahupun rakan sekolah.
Keinginan untuk jadi Kapla
Keazaman ini mendorongnya untuk berkomplot dengan Megat (Sky Iskandar), Kapla sebelumnya, demi menjatuhkan Beja. Rancangan ini berjaya, dan Kahar akhirnya menyandang gelaran Kapla.
Namun, perubahan ini menimbulkan persoalan besar: bagaimana gaya kepimpinan Kahar berbeza daripada abangnya atau ayahnya? Apakah reformasi yang cuba diperkenalkan oleh Kahar, dan adakah sistem High Council benar-benar berubah di bawah pentadbirannya?
Jadi, apa yang kita tonton di drama Projek High Council tu buah fikiran Kahar ke? Tapi bukan ke dia ikut buku peraturan turun-temurun? Hmm…
Boleh ikut jalan cerita ke?
Bagi mereka yang belum menonton Projek High Council, filem ini tetap boleh dinikmati secara berdikari. Namun, peminat setia drama asal pasti akan menghargai kemunculan cameo istimewa dan dua adegan post-kredit yang mencuit hati.
Malangnya, filem ini tidak memperkenalkan istilah-istilah unik baharu yang menjadi salah satu daya tarikan Projek High Council. Ini sedikit mengecewakan kerana elemen tersebut dapat menambahkan kedalaman dan identiti pada dunia High Council.
Secara keseluruhan, Kahar: Kapla High Council menawarkan penceritaan yang memuaskan tentang perubahan seorang remaja yang keliru menjadi pemimpin berwibawa. Serta meningkatkan kesedaran mengenai “budaya” buli.
Namun, ia meninggalkan persoalan yang menarik—adakah Kahar benar-benar membawa perubahan, atau sekadar mengulangi sejarah dalam bentuk yang lain?
Filem ini juga ada beri sedikit tease untuk origin story High Council! Sama ada ia sebuah filem atau drama, pasti peminat tidak sabar!
Anda boleh saksikan filem ini di pawagam Singapura di lokasi tersebut:
Kemaskini:
Kahar Kapla High Council kini boleh ditonton di Netflix.

