Rabu lepas, saya berpeluang menonton pementasan terbaru Wildrice, Accidental Death of an Activist, sebuah karya satira politikal yang mengupas isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam pemerintah.
Diarah oleh Glen Goei dan Jo Kukathas, pementasan ini memukau dari awal hingga akhir, dengan lakonan mantap oleh para pelakonnya, terutamanya Ghafir Akbar yang membawa watak utama, ‘The Maniac’.
Ghafir benar-benar cemerlang dalam persembahannya. Watak ‘The Maniac’ yang penuh karisma, licik, dan penuh tipu daya ini memerlukan kebolehan untuk berubah-ubah persona dengan pantas. Dan Ghafir melakukannya dengan penuh keyakinan, menyuntik nyawa ke dalam setiap watak yang dilakonkannya. Setiap dialog dan gerak tubuhnya berjaya menambat perhatian penonton.
Beliau berjaya memacu tempo pementasan ini, menjadikannya satu tontonan yang penuh bertenaga. Ia adalah salah satu persembahan terbaik yang pernah saya saksikan dalam teater tempatan.
Selain itu, para pelakon lain seperti Munah Bagharib, Lim Kay Siu, Krish Natarajan, Sugie Phua, dan Siti Khalijah Zainal juga memberikan persembahan yang mengagumkan. Setiap daripada mereka berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan penuh tenaga dan kesungguhan. Mereka memberikan lapisan dimensi yang lebih mendalam kepada watak-watak.
Namun, di sebalik gelak tawa dan sindiran, penonton dapat merasakan betapa relevannya mesej yang ingin disampaikan—kritikan terhadap sistem pemerintahan yang tidak telus.
Apa yang paling menarik tentang Accidental Death of an Activist ialah cara ia menggabungkan jenaka dan satira untuk menyampaikan mesej yang berat. Adaptasi daripada karya asal Dario Fo dan Franca Rame ini menambah unsur-unsur tempatan serta budaya pop untuk memastikan ia lebih dekat dengan masyarakat Singapura.
Dalam satu saat, penonton mungkin sedang ketawa, dan dalam saat yang lain, mereka diingatkan tentang betapa seriusnya isu-isu yang dikritik dalam pementasan ini.
Walaupun pementasan ini sarat dengan unsur jenaka, ia tidak kehilangan keupayaan untuk membuat penonton berfikir. Ia berjaya menyeimbangkan antara hiburan dan mesej yang disampaikan, menjadikan ia pengalaman teater yang bermakna.
Jika ada satu kekurangan, mungkin pada akhir cerita di mana penonton tertunggu-tunggu bagaimana ia berakhir tapi babak akhir itu boleh kata agak meleret!
Secara keseluruhan, Accidental Death of an Activist adalah sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga penting. Dengan tema yang berat tetapi disampaikan dalam gaya yang ringan dan menghiburkan, pementasan ini pastinya akan meninggalkan kesan kepada sesiapa yang menontonnya.
Jadi, bagi mereka yang ingin menonton teater yang penuh jenaka tetapi masih menyentuh isu-isu penting dalam masyarakat, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Accidental Death of an Activist.
Tiket masih boleh didapati di laman Sistic, dan pementasan ini akan berlangsung hingga 19 Oktober!
– Pengkritik Sandiwara



[…] Hussin diiringi barisan pelakon hebat seperti Siti Khalijah Zainal, Ghafir Akbar, Dalifah Shahril, Farah Ong dan Fauzie […]
LikeLike
[…] persembahan ini, Sani Hussin diiringi barisan pelakon hebat seperti Siti Khalijah Zainal, Ghafir Akbar, Dalifah Shahril, Farah Ong dan Fauzie […]
LikeLike