Sekiranya anda mencari sesuatu aktiviti untuk dilakukan pada musim Hari Kebangsaan ini, National Day Charade adalah jawapannya.
Tiap tahun, Singapura menanti-nantikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos – sama ada anda di rumah menonton di kaca TV atau keluar ke pusat bandar untuk merasakan suasana dan melihat bunga api, pengalaman setiap warganegara adalah serupa tapi tidak sama.
Sketsa terbitan Wild Rice ini seolah-olah membawa anda ke belakang tabir sebuah perancangan NDP melalui lima orang watak, seperti bilangan bintang di bendera Singapura.

Shane Mardjuki, Andrew Marko, Krish Natarajan, Nurulhuda Hassan dan Deonn Yang masing-masing mengajak penonton mengimbau kembali sejarah NDP dan juga signifikan Padang dalam negara ini.
Penonton dapat lihat bagaimana NDP ini dikuasai pegawai tentera walhal tiada yang tentera sangat tentang NDP. Mereka mungkin ada banyak kehendak tapi tidak tahu bagaimana untuk melakukannya dan menyuruh orang bawahan buat segalanya saja!
Stereotaip NDP juga terpampang dalam karya tulisan Thomas Lim ini di mana setiap tahun, hos-hos NDP pasti terdiri daripada CMIO!
Selain itu, penonton juga diajak dalam perbualan tentang lagu-lagu NDP yang menyuntikkan perasaan patriotisme dalam diri kita. Setiap era mempunyai identiti tersendiri dan penoton pula diminta saranan untuk membuat lagu NDP sendiri tau!

Antara isu-isu yang dititikberatkan dalam National Day Charade ini adalah kontingen yang wujud dalam baris NDP.
Tahukah anda bahawa terdapat peraturan sekiranya parti pembangkang ingin kontinjen tersendiri di NDP? Tapi kenapa syarikat seperti NTUC dan sebagainya boleh ada kontinjen?
Selain itu, status Padang juga ditekankan. Dahulu, Padang merupakan tempat yang penuh sejarah dan simbolik. Inilah tempat untuk orang menunjukkan perasaan politik mereka.
Namun kini, ia sekadar sebuah padang. Digunakan oleh rakyat pada NDP sekali-sekala. Kasihan.
Seni setempat juga menjadi topik perbualan dalam persembahan ini. Di mana filem-filem mainstream terbitan Jack Neo menjadi tumpuan ramai sedangkan terdapat banyak filem Singapura yang mencerminkan masyarakat yang tersembunyi dalam kalangan kita.

Secara keseluruhan, ia sebuah pementasan menarik yang membuka minda anda mengenai negara kita yang sebenarnya penuh rahsia yang tenggelam.
Pementasan interaktif ini sesuai ditonton bersama keluarga, apatah lagi ia agak berdekatan dengan Padang!
Dapatkan tiket anda di sini.
National Day Charade berlangsung hingga 28 Julai ini.
– Pengkritik Sandiwara
(gambar-gambar oleh: Ruey Loon)
