Tak sampai setahun, Wings kembali ke SG

Mereka baru saja berkonsert pada bulan sepuluh tahun lepas, dan kini Wings akan menghiburkan peminat Singapura sekali lagi.

Kumpulan rok itu yang diterajui Awie, bakal menemui peminat mereka pada 29 Julai 2023 pada 8 malam, seminggu selepas konsert Gendang Pati, M Nasir.

Menurut siaran Instagram penganjur, @msn_eventmanagement, konsert ini diberi judul “The Rock Emperor” dan akan berlangsung di Star Theatre.

Poster amat gempak menunjukkan Awie bersama ahli-ahli yang lain, Edry, Eddie, Black dan Sham, diberi edit seolah-olah memakai pakaian wira Eropah(?) masa purba.

Tiket-tiket bermula pada harga $88 hinggalah $268 (Meet & Greet), ia akan mula dijual pada 9 Jun mulai 10 pagi di lelaman Sistic.

Sebelum ini, Wings menghiburkan penonton Singapura pada 2 malam berturut-turut di Esplanade pada 6 dan 7 Oktober. Mereka juga merupakan antara pemuzik yang disenaraikan dalam konsert perlumbaan F1 2022, menjadi kumpulan Asia Tenggara pertama membuat persembahan di Padang sempena lumba kereta F1 di negara ini.

Nampaknya, otai masih berbisa sehingga mereka berani datang SG selang beberapa bulan!

– Pengkritik Sandiwara

Tinggalkan komen