Pemantauan (surveillance) bukanlah perkara baru di Singapura. Malah, ia sudah menjadi sebahagian daripada sejarah sosial negara ini sejak dahulu lagi. Sama ada melalui bentuk pengawasan fizikal, birokrasi, mahupun teknologi, masyarakat Singapura seolah-olah telah terbiasa hidup dalam keadaan diperhatikan. 😦
Pementasan SG Insecure oleh The Necessary Stage (TNS) menonjolkan persoalan ini dengan cara yang sinis tetapi menyedarkan. Melalui tiga sketsa yang digabungkan dalam satu persembahan, penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, malah turut menjadi sebahagian daripada sistem pemantauan itu sendiri.
Konsep persembahan ini agak unik sedikit! Seolah-olah penonton menyertai pasukan petugas (taskforce) SG Insecure, menilai sama ada karya yang sedang ditonton “sesuai” atau tidak untuk khalayak umum. Pendekatan ini mencerminkan realiti masyarakat yang sering hidup di bawah penilaian, garis panduan dan peraturan yang sentiasa diperbaharui.
Di bawah arahan Haresh Sharma, SG Insecure mempersembahkan tiga karya pendek yang dihodupkan oleh Cheryl Ho, Jamil Schulze, Jodi Chan, Moli Mohter, Munah Bagharib, Shrey Bhargava, dan Vishnucharan Naidu.
Setiap karya mencerminkan sisi berbeza isu pemantauan yang boleh dianggap relevan oleh setiap lapisan masyarakat.
Karya pertama oleh A Yagnya membawa penonton menelusuri masa lalu. Zaman di mana pekerja asing di ladang getah diawasi agar sentiasa produktif dan tidak merosakkan “sumber ekonomi negara”. Walaupun suasana telah berubah, tema ini terasa amat dekat dengan keadaan semasa, di mana pekerja asing moden masih dikawal rapi, lebih-lebih lagi selepas insiden rusuhan di Little India sedekad lalu.
Di sinilah kehebatan karya ini: ia memaparkan bahawa pengawasan bukan sekadar kawalan, tetapi juga satu bentuk ketidakseimbangan kuasa antara mereka yang menonton dan yang ditonton.
Dalam karya Sindhura Kalidas, penonton menyaksikan sekumpulan pelajar universiti yang cuba menghidupkan semula semangat Fajar, sebuah simbol perjuangan intelektual masa lalu. Namun, idealisme mereka tidak sempat berkembang apabila mereka dikenakan tindakan POFMA. Ia satu sindiran jelas terhadap cara kebebasan bersuara ditangani hari ini.
Sketsa ini bukan sahaja memperlihatkan bagaimana pemantauan menyekat ekspresi, tetapi juga bagaimana generasi muda cuba mencipta ruang untuk bersuara dalam sistem yang sering “menilai” mereka.
Karya terakhir tampil lebih simbolik. Ia mengisahkan dua individu yang membentuk persahabatan berasaskan minat mereka terhadap Merlion, dalam sebuah Singapura masa depan yang kekurangan air.
Walaupun plot karya Deonn Yang ini tampak pelik, unsur pemantauan muncul apabila diketahui bahawa Merlion sendiri sentiasa diawasi, walaupun tidak pernah melakukan apa-apa yang luar biasa.
Karya ini seolah-olah menggambarkan kehidupan warga Singapura hari ini: melakukan rutin harian tanpa menyimpang, namun tetap hidup di bawah kamera, pantauan dan pandangan pihak berkuasa.
Diperhati, Tapi Masih Tenang?
SG Insecure bukan sekadar hiburan; ia cerminan tajam tentang bagaimana masyarakat Singapura hidup dalam sistem pengawasan yang begitu tersusun, hingga menjadi sebahagian daripada budaya seharian. Kita sudah terbiasa dipantau, sama ada melalui CCTV di setiap sudut, data di Internet, atau garis panduan sosial yang tidak tertulis.
Adakah kita benar-benar “selamat”, atau sekadar “selesa” kerana telah lama hidup dalam rasa tidak selamat itu?
SG Insecure akan berlangsung hingga 8 November di Practice Space. Dapatkan tiket anda di sini.



