A French Kiss in Singapore: muzikal tanpa ciuman, tapi penuh cinta

Dipentaskan oleh Sing’theatre di SOTA Drama Theatre, muzikal ini bukan sekadar hiburan – ia sebuah perayaan seni dan penghargaan terhadap empat legenda muzik Perancis: Charles Aznavour, Charles Trenet, Serge Gainsbourg, dan Jacques Brel. Lagu-lagu mereka dihidupkan semula dengan penuh emosi, gaya dan pesona.

Diarahkan oleh Hossan Leong, A French Kiss in Singapore menyajikan sebuah pengalaman teater yang meriah dan menyentuh jiwa – dibantu pula oleh empat jejaka bersuara lunak dan berkarisma: Amin Alfin, Andrew Marko, Dwayne Lau dan Rino Junior John.

Suara mereka? Memukau. Gaya mereka? Menawan. Pesona? Tiada tandingan!

Antara yang paling mencuri perhatian pastilah gandingan Amin Alfin dan Rino Junior John – bukan saja menyanyi dengan hebat, tetapi juga memikat dengan aksi tari yang mengagumkan. Amin mampu berputar dan membuat split dengan penuh gaya, manakala Rino memukau dengan kemahiran tap dancing yang membuat penonton bersorak!

Andrew Marko dan Dwayne Lau pula menyumbang keseimbangan yang sempurna, dengan nyanyian penuh emosi dan penyampaian dramatik yang menyentuh hati. Tiada satu pun lagu yang sekadar dilantunkan – setiap baris lirik dibawakan dengan jiwa dan kejujuran, menjadikan keseluruhan pementasan ini lebih daripada sekadar hiburan; maklumlah, mereka boleh dianggap nama season dalam dunia teater!

Dan walaupun hanya muncul sebentar, Hossan Leong tetap berjaya mencuit hati dengan lakonannya yang bersahaja, santai, dan penuh jenaka.

Melihat kesemua pelakon bertutur dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan bermacam lagi membuktikan betapa berbakatnya mereka dan berdedikasi demi menjayakan muzikal ini. Syabas, semua!

Dari segi rekaan pentas pula, segalanya dilaksanakan dengan minimal namun berkesan – membiarkan muzik dan persembahan menjadi pusat perhatian. Meletakkan pemuzik di tengah-tengah pentas merupakan satu tindakan yang puitis kerana dalam muzikal ini memberi penghormatan kepada pemuzik Perancis legenda, ia juga mengetengahkan pemuzik (Elaine Chan sebagai pengarah muzik) yang menjayakan muzikal ini.

Rekaan ini memberi ruang kepada penonton untuk benar-benar menghayati cerita dan emosi yang dibawa dalam setiap lagu dan babak.

Menurut Nathalie Ribette, pengarah eksekutif dan artistik Sing’theatre, pementasan ini amat bertepatan dengan sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Singapura-Perancis – satu peristiwa bersejarah yang diraikan dengan penuh gaya dan irama.

Oh ya, jangan tertipu dengan judulnya – tiada adegan ciuman di sini, tetapi percayalah, anda tetap akan jatuh cinta dengan persembahan ini!

A French Kiss in Singapore adalah sebuah muzikal yang penuh tenaga, nostalgia, dan melodi yang membuat kaki anda gatal ingin menari.

A French Kiss in Singapore bakal berlangsung hingga 27 April, Ahad ini. Dapatkan tiket anda di Sistic!

One comment

Tinggalkan komen