Tak sampai lima minit filem ini bermula, penonton sudah disajikan dengan aksi tembak-menembak yang berdentum tanpa henti – cukup untuk buat jantung berdegup kencang! Begitulah pembuka tirai Blood Brothers: Bara Naga, sebuah filem aksi jenayah yang mendebarkan dari saat pertama.
Dengan permulaan yang begitu gempak, ia terus memberi isyarat bahawa filem ini tidak akan membiarkan penonton lena walau sesaat. Dan ya… memang betul!
Filem arahan Syafiq Yusof bersama Abhilash Chandra ini memacu penonton untuk terus meneka dan berteka-teki:
Siapa pengkhianat sebenar?
Apa motif pembunuhan yang berlaku?
Apakah peranan pihak polis dalam kancah kongsi gelap ini?
Dan… adakah “Naga” lain turut terlibat?
Kisahnya berkisar tentang kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang masing-masing diketuai oleh seorang “Naga”. Namun apabila anak kepada salah seorang Naga terbunuh, dunia jenayah ini menjadi huru-hara! Masing-masing ingin memburu si pembunuh, tapi persoalannya, siapa dalangnya?
Yang menariknya, filem ini tak pernah surut dengan aksi. Setiap babak dirancang rapi, penuh dengan adegan pertempuran yang “solid” dan sinematografi bergaya, seolah-olah menonton filem aksi Hollywood.
Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Wan Hanafi Su dan ramai lagi, lakonan mereka cukup memberi kesan.
Skripnya pula bijak dan bermain dengan emosi penonton – ada babak yang buat kita rasa, “Ahh! Patutlah!”.
Apa yang membezakan filem ini daripada filem aksi yang lain ialah unsur poetik yang tersembunyi. Beberapa babak dirancang dengan teknik foreshadowing, seakan-akan memberi petunjuk halus tentang apa yang bakal berlaku – macam bait pantun yang tersisip makna dalam diam.
Cuma satu je yang Min tak suka… Unsur jenaka yang diselitkan secara paksa. Macam tak perlu! Rosakkan mood tu adalah.
Blood Brothers: Bara Naga ialah sebuah filem aksi penuh debar, pasti buat anda duduk terpaku dari mula hingga akhir. Kalau anda minat filem kongsi gelap dengan jalan cerita yang penuh kelainan, jangan lepaskan peluang tonton di pawagam Singapura sekarang!
Oh yes, pastikan korang stay sampai habis tau! Ada post-credit scene…
