Ahad lalu, saya berpeluang menonton sebuah muzikal yang sedang hangat dipersembahkan di Sands Theatre, Marina Bay Sands – The Mongol Khan.
Secara jujurnya, saya telah membeli tiket semasa promosi beli 1 percuma 1 tanpa benar-benar mengetahui apa-apa tentang muzikal ini. Apa yang menarik perhatian saya untuk menonton adalah tumpuan yang diberikan kepada budaya etnik Mongolia, sesuatu yang jarang-jarang kita lihat dipersembahkan di pentas muzikal.
Pada mulanya, saya sudah bersedia untuk menyaksikan sebuah kisah tentang peperangan epik, bagaimana bangsa Mongolia hampir menakluki dunia. Namun, agak mengejutkan, itu bukanlah cerita utama muzikal ini.
Sebaliknya, jalan ceritanya lebih mirip kepada drama keluarga yang relevan dengan kehidupan masa kini. Segala unsur drama ada – skandal, penukaran identiti, pergaduhan, tipu helah dan lain-lain sewaktu dengannya.
Jangan salah sangka, saya sama sekali tidak kecewa dengan jalan ceritanya. Malah, ia membuka mata saya tentang perspektif lain yang mungkin saya tidak jangkakan kerana sebelum ini, pemikiran saya terlalu sempit mengenai budaya dan sejarah Mongolia.
Sejurus bermulanya muzikal ini, penonton disajikan dengan satu persembahan pembukaan yang begitu gah dan mempesonakan. Ia terasa seolah-olah ratusan penari dan pelakon memenuhi pentas, mencipta sebuah suasana yang penuh kemegahan dan keindahan visual. Pembukaan ini sahaja sudah cukup memberi tanda bahawa The Mongol Khan ialah sebuah produksi yang tidak main-main dari segi nilai estetika.
Sepanjang muzikal ini, setiap watak tidak beraksi sendirian. Mereka sentiasa diiringi oleh penari latar yang seakan-akan menjadi lanjutan perasaan dan ekspresi watak-watak tersebut. Teknik ini bukan sahaja menambah impak dramatik, malah turut membantu dalam menyampaikan kepelbagaian emosi yang dirasai setiap watak.
Satu lagi elemen yang menonjol dalam muzikal ini adalah kostum, lagu, dan koreografinya. Semuanya bertaraf antarabangsa, atau lebih tepat lagi, world-class! Setiap perincian dalam kostum begitu memukau dan sempurna, sehinggakan anda boleh merasakan jiwa dan budaya Mongolia dalam setiap lapisan kain yang mereka kenakan.
Walau bagaimanapun, ada satu aspek yang sedikit mengecewakan saya – sari kata. Ia kelihatan tidak konsisten. Ada kalanya muncul dua baris, dan ada kalanya tiga. Saiz tulisan juga tidak tetap, yang menyukarkan pembacaan, lebih-lebih lagi apabila skrin sari kata diletakkan agak jauh dari penonton. Ini mungkin salah satu aspek teknikal yang boleh diperbaiki untuk memberikan pengalaman menonton yang lebih sempurna.
Namun begitu, ia tidak membantut pengalaman menonton muzikal berbahasa Mongolia yang amatlah gemilang ini. Bahkan, mendengar ia dipersembahkan dalam bahasa aslinya membuatkan persembahan ini lebih seronok untuk ditonton. Macam khusyuk gitu!
Oh ya, bahasa yang digunakan juga ada kalanya agak berbunga dan berlapis tau…
Secara keseluruhan, The Mongol Khan adalah sebuah muzikal yang wajib ditonton, terutamanya jika anda menghargai kecantikan visual dan kehalusan kostum. Malah, untuk aspek visualnya sahaja, saya yakin anda akan terpikat dan tertarik untuk mendapatkan tiket.
Anda boleh dapatkan tiket anda di Sistic. The Mongol Khan berlangsung hingga 3 November ini.
– Pengkritik Sandiwara


