Perang Komedi: Sepahtu dan Bocey beraksi di dua lokasi berbeza pada tarikh sama!

Kumpulan lawak popular Malaysia, Sepahtu, bakal menggegarkan Singapura!

Pihak penganjur Eventify SG baru sahaja mengumumkan acara yang sangat dinanti-nantikan (agak ah?), berjudul Sepahtu Reunion LIVE Di Singapura, melalui platform media sosial mereka malam semalam.

Pengumuman tersebut pasti mencetuskan keterujaan di kalangan peminat komedi yang sudah lama menantikan kehadiran kumpulan ini.

Sepahtu bakal mengadakan persembahan live pertama mereka di Singapura pada 30 November nanti, bertempat di Singapore EXPO Dewan 7. Ini pastinya satu acara yang ditunggu-tunggu oleh peminat mereka kerana ia merupakan peluang pertama menyaksikan lawak spontan dan jenaka mereka secara langsung di atas pentas di Singapura.

Tarikh penjualan tiket akan diumumkan melalui saluran Telegram Eventify.

Namun, yang menariknya, kumpulan Bocey juga akan membuat persembahan LIVE di Singapura pada tarikh yang sama, tetapi di lokasi berbeza – Capitol Theatre.

Dua kumpulan gergasi dalam dunia komedi Malaysia tampil serentak di Singapura – ini sesuatu yang jarang berlaku.

Persoalannya, adakah tiket untuk kedua-dua acara ini mampu laris? Jika meninjau lelaman Sistic untuk jualan tiket Bocey, kelihatannya jualan tiket masih perlahan.

Situasi ini menimbulkan tanda tanya, kenapa pihak penganjur, Eventify dan HMA Entertainment, yang pernah bekerjasama sebelum ini bagi konsert Newboyz, memilih tarikh yang sama untuk persembahan kedua-dua kumpulan?

Apa pun, peminat komedi di Singapura berada dalam dilema – yang mana satu nak dipilih? Kita lihat sajalah!

Tinggalkan komen