Dive selami perasaan individu dalam pergolakan rumahtangga

Empat orang pelakon memainkan dua watak secara bergilir-gilir? “Alamak, ini mesti pementasan abstrak yang terlampau artistik!”

4 pelakon tapi 2 watak?

Itulah yang berlegar di fikiran saya ketika pementasan Dive di Studio Wild Rice baru saja bermula. Empat barisan pelakon, Irsyad Dawood, Jean Ng, Ebi Shankara, dan Ellison Tan yang bakal bergilir-gilir membawa dua watak sepanjang persembahan membuat saya bersedia untuk sesuatu yang agak sukar difahami.

gambar: Ruey Loon

Namun, ternyata saya tersilap. Malah, konsep yang pada mulanya kelihatan membingungkan ini menjadi daya tarik utama pementasan.

Ia sebenarnya satu cara yang berkesan untuk menyampaikan cerita dengan lebih mendalam dan menyentuh perasaan.

Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari

Secara ringkas, Dive yang ditulis oleh Laura Hayes, mengisahkan dua orang yang mula jatuh cinta ketika usia remaja.

Pertemuan mereka bermula di sebuah kolam renang, di mana salah seorang sedang belajar terjun dari papan anjal. Di situlah bibit cinta mereka mula berputik.

Penonton dibawa melalui pelbagai fasa kehidupan mereka, dari saat mereka remaja hinggalah usia senja.

Namun, seperti kebanyakan pasangan, kehidupan mereka tidak terlepas daripada konflik. Pertelingkahan mereka tidak hanya melibatkan perselisihan biasa, tetapi juga keganasan—baik dari segi fizikal, mental, mahupun psikologi. Cara mereka berkomunikasi juga menjadi alat penindasan, memperlihatkan kerumitan hubungan yang rapuh.

Unsur kabur digunakan dengan bijak!

Yang menariknya, dengan empat pelakon memainkan dua watak, identiti jantina watak-watak ini dibiarkan terbuka. Penonton tidak diberikan kepastian tentang siapa lelaki, siapa perempuan, atau sama ada kedua-duanya mungkin berjantina sama.

Pementasan arahan Sim Yan Ying “YY” ini mengaburkan stereotaip biasa, di mana wanita sering digambarkan sebagai mangsa, dan menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi pelaku atau mangsa keganasan.

Kita hanya tahu bahawa seorang watak adalah doktor bedah dan seorang lagi peguam—dua kerjaya yang berjaya. Pementasan ini membuka perbincangan tentang bagaimana masalah keganasan rumahtangga boleh menimpa sesiapa sahaja, tidak kira status atau kejayaan profesional mereka.

Konflik dalaman dihidupkan

Dengan pelakon yang silih berganti, penonton juga dapat melihat dengan jelas bagaimana perasaan watak-watak itu saling bertembung. Teknik ini sangat berkesan dalam melambangkan konflik dalaman yang dihadapi oleh setiap watak.

Misalnya, pelakon A mungkin menampilkan perasaan marah, manakala pelakon B menggambarkan perasaan yang bertentangan, seperti rasa sedih atau bersalah – A dan B memainkan watak sama – ini memberi lapisan emosi yang mendalam kepada persembahan.

Tambahan pula, perkara seperti menyalahkan diri sendiri (victim blaming), minidakkan sesuatu (denial), gaslighting dan lain-lain turut disentuh dalam Dive.

Kesan bunyi dan visual menambah ketegangan

Selain lakonan, unsur bunyi dan visual turut memainkan peranan penting dalam mencipta kesan dramatik Dive.

Walaupun hanya ada prop sederhana seperti kerusi dan kotak plastik, bunyi dan visual berjaya menghidupkan suasana. Bayangkan betapa mengejutkannya apabila terdengar bunyi kaca pecah, seolah-olah benar-benar terjadi di atas pentas! Suasana menjadi lebih tegang terutama dalam adegan pergaduhan, yang mampu mencetuskan rasa gelisah di kalangan penonton.

Secara terus terang, ini adalah antara pementasan yang terbaik pernah saya tonton tahun ini. Syabas pasukan Dive dan Wild Rice kerana bukan saja ia sebuah pementasan yang hebat, tetapi memberi suara untuk membincangkan hal-hal yang penting seperti ini.

– Pengkritik Sandiwara

(gambar header: Ruey Loon)

One comment

Tinggalkan komen