Filem Takluk: Lahad Datu ini, ibarat menunggu kucing bertanduk. Saya sudah duduk di pawagam, tangan bersilang, hati teruja menanti ledakan klimaks yang dijanjikan, tetapi yang datang hanyalah bayu lembut yang singgah di pipi—tiada dentuman, tiada gemuruh.
Lambatnya klimaks filem M18 ni, rasa macam nak kirimkan GPS untuk bantu dia sampai ke destinasi!
Setiap kali tiba musim Merdeka di Malaysia, seperti biasalah, filem patriotik mula menyerang panggung, dan Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar tidak terkecuali.
Filem ini penuh aksi dan saspens, tapi sayangnya jalan cerita ibarat kereta yang hilang minyak—bergerak perlahan-lahan, kadang-kadang tertinggal di tepi jalan.
Saya sudah bersedia untuk disajikan dengan aksi hebat dari pelakon-pelakon sado yang pasti membuatkan kakak-kakak di luar sana tersenyum lebar, seperti Syafiq Kyle, Anding Indrawani, Fikri Ibrahim, Kamal Adli, dan ramai lagi.

Tapi penantian itu… oh, sungguh lama! Rasanya, masa menunggu pesanan makanan di kedai mamak lebih singkat dari menunggu kemuncak aksi dan otot-otot yang bergetar di skrin.
Kemudian, saya juga tertanya-tanya tentang watak ‘Raja’ yang dibawakan oleh Eman Manan. Yes, watak polis dan tanggungjawab mereka jelas—nak jaga kampung dari ancaman ‘Raja’.
Tapi persoalannya, kenapa Raja rasa macam dia ada hak ke atas tanah tu? Modus operandi Raja ini kabur. Siapakah dia?
Walaupun begitu, tak dinafikan lakonan Eman Manan memang kelas pertama. Wataknya menghidupkan rasa ingin tahu saya, tapi sayang, watak ini juga meninggalkan banyak tanda tanya. Apa sejarahnya?
Apa kisah kultus Gerakan Militan Nusantara yang diketuainya? Seperti menonton filem dengan ‘cliffhanger’ yang tak ada sambungan—saya masih tertanya-tanya, “Kenapa dia berkelakuan begitu?”
Pendek kata, Takluk: Lahad Datu ada potensinya, terutamanya bagi mereka yang mahu mencuci mata melihat para pelakon sado yang beraksi. Tetapi, ia perlu sedikit lagi rempah ratus dalam jalan ceritanya untuk benar-benar memikat selera.
Sekiranya anda ingin menonton filem ini, anda boleh saksikannya di pawagam Golden Village serta Cathay Cineplex di Singapura.
– Pengkritik Sandiwara
