Melangkah masuk ke Blackbox, Pusat Drama, dengan fikiran penuh tentang sebuah pementasan oleh Checkpoint Theatre yang mungkin lebih menyerupai kuliah panjang lebar tentang bahaya bahan bakar fosil, hati dah bersedia untuk menerima nasib—mungkin sedikit menguap, mungkin sedikit termenung.
Tapi, oh, ternyata jangkaan saya meleset. Bahkan, saya mempelajari atau lebih tepat lagi, mengenali orang-orang yang membolehkan kita melakukan kegiatan seharian kita.
Playing With Fire, yang ditulis oleh Cheyenne Alexandria Phillips, bukanlah sekadar pementasan biasa yang penuh dengan statistik membosankan.
Sebaliknya, saya diperkenalkan kepada orang-orang yang setiap hari berada di sebalik tabir dunia bahan bakar fosil, memastikan hidup kita berjalan lancar.
Ya, kita semua tahu bahan bakar fosil bukanlah benda paling suci di dunia—ia ada padahnya, seperti yang digambarkan dengan cukup dramatik dalam pementasan ini. Tapi di bawah arahan Claire Wong, mesejnya jelas: nak tinggalkan bahan ini atau beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam bukanlah semudah menukar saluran TV.
Secara teori, memang nampak senang. Tapi realitinya, ia melibatkan ramai orang dan mungkin membawa kesan lebih buruk daripada yang dijangka.
Kajian atau soal siasat?
Permulaan cerita membuat saya terpinga-pinga.
Watak utama, Sue (dimainkan oleh Rebecca Ashley Dass), seorang penulis yang sedang membuat kajian untuk sebuah pementasan tentang industri bahan bakar fosil. Tapi yang peliknya, dalam wawancaranya dengan empat orang pekerja dalam industri ini, Sue nampaknya melihat mereka seperti… kecil? Macam tak ada langsung rasa empati.
Sue menyoal mereka seolah-olah mereka ini penjenayah yang salah hanya kerana bekerja dalam industri ini. Bukankah lebih adil kalau Sue mendekati wawancara dengan hati yang lebih terbuka? Rasa macam ada sedikit berat sebelah di sini, kan?
Ada udang di sebalik batu!
Rupa-rupanya, Sue ada agenda tersembunyi. Dia bukan sekadar nak tahu tentang industri ini—dia sebenarnya sedang menyiasat satu insiden letupan yang berlaku beberapa tahun sebelum ini.
Secara sengaja dan tidak sengaja, Sue bongkar kebenaran insiden letupan ini.
Mereka juga manusia
Dalam proses mencari kebenaran, Sue terdedah kepada banyak perkara yang tak disangkanya.
Sue mula memahami kenapa seorang teknisyen (dimainkan oleh Rafaat Haji Hamzah) terus setia bekerja walaupun setiap hari terpaksa menanggung risiko yang tinggi.
Dia juga mengetahui sejarah keluarganya di pulau itu menerusi seorang pengurus bersara (watak Nora Samosir), yang sebenarnya adalah kawan baik ibunya sendiri.
Tambah lagi, Sue mendapat tahu bahawa rakan seasramanya (watak Cheryl Lee) yang kini seorang jurutera dalam syarikat bahan bakar fosil, sebenarnya berhasrat untuk membawa perubahan positif dalam industri ini.
Walaupun industri ini banyak dikritik, watak yang dilakonkan oleh Gosteloa Spancer mengingatkan kita tentang betapa pentingnya peranan orang-orang yang bekerja di industri ini. Tanpa mereka, mungkin kita takkan dapat melakukan banyak perkara yang kita anggap remeh setiap hari.
Melalui kajian Sue, industri ini bukanlah sekadar industri bahaya. Tapi juga penuh dengan individu yang mempunyai harapan dan impian. Mereka juga ingin mengubah industri ini. Mereka juga tahu betapa pentingnya industri ini. Mereka juga memerlukan pekerjaan ini.
Seolah-olah dalam dilema yang sukar untuk mencari penyelesaian.
Teruskan bermain dengan api?
Selain jalan cerita yang mendalam dan penuh emosi, saya juga terpesona dengan kesan bunyi yang digunakan dalam Playing With Fire. Setiap bunyi, setiap gema, menambahkan lagi rasa saspens—membuat penonton terus melekat di tempat duduk, menunggu apa yang akan berlaku seterusnya.
Dalam Playing With Fire, kita dibawa masuk ke dalam dunia yang jarang sekali kita fikirkan—dunia bahan bakar fosil—dan diperkenalkan kepada watak-watak yang sering kita anggap enteng, tapi tanpa mereka, mungkin kita semua kena balik ke zaman batu.
Dengan sinis dan kelakar, pementasan ini membuka mata kita tentang realiti sebenar hidup mereka yang bekerja dalam industri yang penuh kontroversi ini.
Melalui pementasan ini, penonton mungkin mula memahami betapa rumitnya untuk meninggalkan bahan bakar fosil. Ya, kita boleh bercakap tentang tenaga hijau, tapi siapa nak turun naik tangga kalau lif tak berfungsi?
Dengan kombinasi plot yang memukau, watak yang serba boleh, dan sedikit unsur sindiran yang tepat pada masanya, Playing With Fire berjaya menyulut api dalam diri kita—api kesedaran dan simpati terhadap dunia yang sering kali kita pandang remeh.
Tepuk tangan bagi pasukan Playing With Fire yang berani bermain dengan api ini!
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Joseph Nair)
