“Atas permintaan ramai.”
Inilah alasan utama di sebalik pertukaran lokasi konsert Newboyz yang telah diumumkan baru-baru ini. Menurut pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh Tomok, penyanyi utama kumpulan Newboyz, konsert yang meraikan ulang tahun ke-25 kumpulan ini kini akan diadakan di Bukit Bintang Temasek (The Star Theatre), menggantikan lokasi asal yang dirancang di Singapore Expo Dewan 7.

Konsert ini tetap dijadualkan pada 12 Oktober 2024 seperti yang telah diumumkan sebelum ini, tanpa sebarang perubahan pada tarikh.
Kenaikan Harga Tiket?
Salah satu isu utama yang menjadi tanda tanya peminat adalah mengenai harga tiket selepas pertukaran lokasi. Pada mulanya, harga tiket untuk konsert di Singapore Expo Dewan 7 adalah $99 dan $111 saja.
Namun, dengan perubahan lokasi ke Bukit Bintang Temasek, yang merupakan lokasi dengan kapasiti yang lebih kecil dan lebih eksklusif, peminat masih menunggu pengumuman rasmi tentang sama ada harga tiket akan mengalami perubahan.
Penjualan tiket telah dihentikan sementara mulai malam semalam (20 Ogos) dan dijadualkan akan disambung semula pada pukul 10 pagi pada 29 Ogos, Khamis depan.
Peminat yang telah membeli tiket sebelumnya akan diberikan tempat duduk dengan ‘secara adil’ seperti yang dijelaskan oleh pihak penganjur, Eventify.
Pertukaran Tarikh Konsert Ella
Ada yang mungkin tertanya-tanya mengapa pertukaran lokasi ini berlaku pada saat akhir. Ye lah, Tomok kongsi siaran ini lewat malam semalam!
Menariknya, konsert Ella yang sepatutnya diadakan di Bukit Bintang Temasek pada tarikh yang sama, 12 Oktober, kini telah dijadualkan semula pada 11 Oktober.
Menurut Ella melalui media sosialnya, perubahan tarikh ini dibuat atas permintaan ramai. Nampaknya, perubahan ini memberi ruang kepada konsert Newboyz untuk mengambil tempat pada tarikh yang diinginkan.
Kerjasama Antara Penganjur?
Dengan perubahan tarikh dan lokasi yang berlaku hampir serentak, ada yang berandaian mungkin terdapat persetujuan atau kerjasama antara penganjur konsert Ella dan Newboyz (Hitman Solutions dan Eventify).
Meskipun tiada pengesahan rasmi mengenai perkara ini, ada kemungkinan bahawa pertukaran tarikh dan lokasi ini mungkin melibatkan kerjasama antara kedua-dua pihak penganjur bagi memastikan kedua-dua acara dapat berlangsung tanpa sebarang konflik dan memberikan pengalaman yang terbaik kepada peminat.
Kenangan Tahun Lepas
Menariknya, kedua-dua Newboyz dan Ella telah memeriahkan pentas Bukit Bintang Temasek pada tahun lalu dengan persembahan yang sangat menghiburkan. Kejayaan tersebut mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong pemilihan lokasi yang sama untuk tahun ini, walaupun dengan penjadualan yang berbeza.
Dengan pertukaran lokasi ini, peminat Newboyz dan Ella pasti tidak sabar untuk menyaksikan konsert yang penuh nostalgia dan kegembiraan di Bukit Bintang Temasek. Pastikan anda tidak terlepas peluang untuk mendapatkan tiket pada penjualan semula nanti!
– Pengkritik Sandiwara


[…] besar seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ne-Yo, Rossa, Newboyz, Wali Band, Masdo dan banyak lagi telah dibawa masuk oleh SAH Entertainment untuk menghiburkan para […]
LikeLike