Cabaran jaga anak autistik disingkap dalam Falling oleh Pangdemonium

Berjurai airmata dibuatnya tatkala menonton pementasan Falling oleh Pangdemonium yang diadakan di Teater Dermaga Singtel di Esplanade.

Menjaga seorang anak bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak cabaran yang harus ditempuh. Lagi-lagi kalau anak tu masih kecil. Merengek tak henti-henti, karenahnya pun harus ibu bapa layan.

Watak Josh dan ibunya, Tami, sedang countdown
gambar: Crispi Pang

Tapi, bagaimana pula dengan penjagaan seorang anak yang menghidap autisme?

Dalam pementasan arahan Tracie Pang ini, Falling bertindak sebagai jendela bagi penonton untuk sebanyak sedikit memahami atau sekurang-kurangnya melihat bagaimana kehidupan sebuah keluarga yang membesarkan seorang anak yang menghidap autisme.

Tami (Karen Tan) dan Bill (Dwayne Lau) sepasang ibu bapa yang lakukan apa saja demi anak istimewa mereka Josh (Andrew Marko). Mereka kerap adakan mesyuarat agar dapat membina ‘sistem’ untuk menjaga Josh.

Bapa Josh, Bill, menenangkan Josh
gambar:Crispi Pang

Ada istilah khas digunakan seperti peanut butter dan jam, yang masing-masing membawa erti ‘sembunyi’ dan ‘pertolongan diperlukan’ apabila menangani karenah Josh.

Watak Josh pula punyai episod-episodnya yang tertentu. Kadangkala dia boleh berganas atau inginkan perkara dengan caranya tersendiri. Oleh itu, pelbagai solusi dicipta demi Josh.

Rutin setiap orang dalam rumah ini harus mempertimbangkan kesejahteraan Josh. Adik Josh, Lisa (Rebecca Ashley Dass), seorang pelajar 16 tahun juga harus mengutamakan abangnya dalam apa jua dia lakukan. Sebagai contoh, apabila dia ingin kisar buah untuk jus, dia harus pastikan Josh sudah bersedia untuk bunyi kuat dari mesin pengisar.

Namun, dalam pada itu, keluarga ini sebenarnya ingin bayangkan kehidupan tanpa Josh.

Lisa ingin pindah dan ikut neneknya agar dapat hidup seperti remaja yang lain. Lisa jemu dengan kehidupan keluarganya yang pentingkan Josh. Seperti dia bukanlah seorang anak yang layak mendapatkan childhood yang menggembirakan.

Tami pula termimpi sekiranya Josh telah tiada. Wataknya dalam dilemma. Adakah dia akan gembira tanpa masalah yang diheret Josh? Atau adakah hidupnya akan kesepian dan tidak bermakna lagi?

Meskipun mereka semua punyai fikiran tersebut, ternyata ia hanya lintasan di minda.

Mereka sebenarnya sayang akan Josh walaupun untuk menjaga seorang ahli keluarga autistik itu bukanlah mudah. Cabaran itu sebahagian daripadanya. Mereka sudah sebati dengan itu semua dan itulah membuat mereka lebih kuat sebagai sebuah keluarga.

Apa yang menarik tentang Falling ini adalah apabila mereka kenalkan watak Nenek (Lok Meng Chue) kepada keluarga ini. Nenek sekadar ingin menumpang buat seketika. Dan watak nenek ni macam penonton yang tidak tahu-menahu tentang Josh.

Terus ‘terjebak’ dalam kehidupan keluarga ini yang sudah terbiasa dengan karenah Josh dan nenek mula huru-hara. Begitulah penonton. Sebagai orang luar yang menonton sebuah keluarga yang sedang ‘beraksi’.

Permainan kegemaran Josh – Feathers
gambar: Crispi Pang

Sekiranya korang ada masa yang terluang, pergilah tonton Falling. Ia sebuah pementasan yang membuka mata dan bermakna sekali. Karya Deanna Jent ini berjaya mengajak penonton untuk merasakan keperitan dan kesukaran menjadi seorang penjaga.

Bukan hanya penat secara fizikal, tetapi mental juga. Dan ini punyai kesan terhadap perhubungan di dalam dan luar rumah. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak, mertua, agama, kerja dan banyak lagi.

Lakonan setiap pelakon begitu meyakinkan sekali, terutama sekali watak Josh. Sampai terlupa bahawa apa yang terlihat di depan mata sebenarnya lakonan semata!

Bawa tisu tau.

Tiket-tiket masih boleh didapati di sini. Falling akan berlangsung hingga 24 Mac.

Dapatkan tiket anda

– Pengkritik Sandiwara

(gambar header: Crispi Pang)

Tinggalkan komen