Sekiranya ahli keluarga anda punyai simptom-simptom demensia, apa yang akan anda lakukan?
Memberi sokongan secukupnya dan lakukan yang terbaik agar mereka dapat pertolongan, bukan? Tapi itu sekadar teori saja.
Dalam pementasan Oo-woo tulisan Raimi Safari yang diarah Mohd Fared Jainal, penonton dibentangkan dengan sebuah keluarga yang terpaksa menjaga ibu mereka apabila mendapat tahu bahawa ibu mereka (Dalifah Shahril) ada simptom-simptom demensia.
Bukan senang jadi caretaker, lagi-lagi kalau mereka ada demensia. Bukan senang.
Siapa nak jaga mak?
Tanggungjawab seorang anak lelaki sulung (watak Yazid Jalil) dipersoalkan adiknya, Hanna (watak Farah Lola), sehinggakan orang gohmen terpaksa masuk campur dalam kes ini.
Apakan tidak, abang serta kakak-iparnya (Isabella Chiam) memang dari dulu ada ura-ura nak pindah ke Australia atas alasan kerja, tapi oleh kerana keadaan ibunya, mereka tangguhkan idea tersebut.
Tapi si adik macam takut untuk pikul tanggungjawab seorang diri, walaupun diberi pertolongan. Yelah, Hanna lagi nak fokus kepada pelajaran sebab nak genggam ijazah.
Huru-hara satu keluarga jadinya. Semua tak nak jaga mak sorang-sorang. Nak pikul tanggungjawab sama-sama.
Ahli keluarga baru
Yang penting, dalam dua adik-beradik ini bertengkar, orang luar yang benar-benar prihatin akan kesihatan ibu mereka.
Meskipun sekadar digelar menantu, Amelia ikhlas menjaga ibu mentuanya. Dialah yang menjaga segala pantang dan mengorbankan masa serta kerjayanya untuk ibunya ini.
Adakah kerana Amelia ingin menambat hati keluarga suaminya kerana keluarganya sendiri tidak menghargainya? Atau kerana dia ingin membuktikan bahawa meskipun dia orang luar dan bukan sebangsa, dia boleh jadi ahli keluarga mereka?
Amelia tetap menjaga ibunya walaupun ibunya tidak mengenalinya dan menyuruhnya memanggil “auntie” dan bukan “mak”.
Metafora burung tiong
Apa yang menarik sekali adalah lambang burung tiong dalam kisah ini.
Ia melambangkan pelbagai perkara dalam kisah The Necessary Stage, sebahagian daripada Pesta Pinggiran Singapura M1 ini.
Pada pendapat saya, pertama ia melambangkan ayah mereka yang telah tiada.
Menerusi burung tiong itulah ibu mereka sedikit-sebanyak menjalinkan hubungan semula dengan arwah suaminya. Memberitahu segala perkara tentang anak-anak mereka.
Kedua, burung tiong itu mencerminkan kedua-dua beradik itu.
Mereka masih tinggal bersama ibu mereka, belum bersedia untuk keluar daripada sangkar ibu mereka. Selalu digesa untuk pulang ke sangkar mereka kerana ibu masih merindui dan memerlukan mereka.
Ketiga, burung tiong itu… watak ibu!
Seperti burung tiong yang terperangkap dalam sangkar, ibu ingin bebas. Bebas daripada demensia yang membelenggu dirinya.
Dia tidak ingin lagi hidup dalam keadaan tak menentu, melihat anak-anaknya asyik bergaduh.
Secara keseluruhan, Oo-woo membuka mata dan minda penonton akan liku-liku menjaga seorang orang tua yang mempunyai demensia. Memang satu tanggungjawab berat, dan ia mengingatkan akan pepatah ini:
“Seorang ibu boleh jaga 10 anak, tapi 10 anak belum tentu boleh jaga seorang ibu.”
Memang banyak cabaran yang akan dihidapi. Pengorbanan juga pasti akan berlaku. Tapi sesungguhnya Tuhan tidak akan memberi cobaan melebihi kemampuan umatnya.
Tiket-tiket bagi Oo-Woo masih boleh didapati, tapi terhad tau! So, cepat-cepat beli di Book My Show. Ia berlangsung di Teater Studio Esplanade hingga 28 Januari ini.
Bawak tisu sekali, confirm nangis.
Beli tiket sekarang!
– Pengkritik Sandiwara
(gambar header: Tuckys Photography)


