Never The Bride rombak status quo

Salam sejahtera, para pembaca setiaku!

Watak-watak Pondan Sisters yang dihidupkan oleh Ryan Ang, Fadhil Daud dan Rajkumar Thiagaras (yang juga selaku penulis) meneroka apa bakal terjadi sekiranya perkahwinan sesama jenis dibolehkan di pulau ini.

Menerusi pementasan Pesta Pinggiran Singapura M1 2023 ini, ia seolah-olah memberi sedikit harapan kepada masyarakat LGBTQ+ untuk merasakan secebis kehidupan yang dianggap sebagai normal.

Tapi, menerusi persembahan 80 minit ini, penonton dilontarkan persoalan seperti apa yang akan benar-benar terjadi sekiranya perkahwinan bukanlah saja menyatukan dua pihak berlainan jantina?

watak ‘Adik’ sebagai pengantin lelaki
gambar: Tuckys Photography

Bagaimana pula dengan pasangan LGBTQ+ yang mempraktikkan lebih daripada seorang pasangan? Bukankah mereka sama seperti pasangan lurus yang berpegang kepada prinsip poligami di mana perkahwinan kedua atau ketiga mereka mungkin tidak diterima undang-undang?

Mungkinkah hak pasangan heteroseksual terancam apabila perkahwinan sejenis dibenarkan pada masa hadapan?

Perlukah seseorang LGBTQ+ itu berkahwin dan mengikut kehendak atau tradisi kaum lurus? Cakap pasal tradisi, pasti banyak perubahan yang bakal diperkenalkan oleh kaum LGBTQ+ sekiranya perkahwinan sejenis dibenarkan. Ini kerana tradisi perkahwinan yang amat hetero akan diberi suntikan homo!

Adakah kaum LGBTQ+ akan lebih terbelah bagi kerana terdapat segelintir daripada mereka yang tidak ingin berkahwin. Tapi hakikatnya, mereka sudah pun terbelah bagi dalam masyarakat mereka tersendiri!

Kahwin seks sejenis dikupas dalam Never The Bride
Watak-watak Never The Bride sebagai pembaca berita, berkongsi berita dunia mengenai isu LGBTQ+
gambar: Tuckys Photography

Semua ini mengingatkan sesuatu… walaupun 377A sudah digugurkan, tiada perbezaan ketara yang memberi kesan. Baik kepada kaum LGBTQ+ mahupun kaum lurus. Mungkin dengan kelonggaran undang-undang perkahwinan, kesannya pun tidaklah begitu besar seperti dua-dua pihak ini gembar-gemburkan.

Walaupun begitu, pada masa ini kaum LGBTQ+ hanya boleh bermimpi untuk berkahwin dengan pasangan mereka di negara ini. Segala keistimewaan yang dinikmati pasangan straight (dari segi perumahan, anak dll) hanyalah kisah dongeng buat individu ini.

Menariknya (atau secara kebetulan), setiap watak dalam arahan Alvin Tan ini mewakili etnik utama dalam Singapura, iaitu Cina, Melayu dan India. Ini memberi petunjuk bahawa isu perkahwinan sesama seks sejenis ini menjejas setiap individu di Singapura dan kaum yang lebih konservatif harus difikirkan juga.

Never The Bride berjaya menimbulkan persoalan-persoalan yang amat penting dalam kemajuan menyatukan kehendak kaum LGBTQ+ ke dalam kehidupan masyarakat secara amnya. Dan perkara ini semuanya melibatkan kedua-dua pihak dan bagaimana mereka boleh hidup antara satu sama lain tanpa menimbulkan salah faham serta mengelakkan konflik. Walaupun ia dilihat secara perkara yang senang untuk membenarkan perkahwinan antara seks sejenis, ia sebenarnya lebih rumit – terutama sekali dalam masyarakat LGBTQ+ sendiri.

– Pengkritik Sandiwara

(gambar header: Tuckys Photography)

Tinggalkan komen