“Ape ni?”
Itulah yang terlintas di benak saya ketika menonton pementasan Escape To Batam semalam di Teater Dermaga Singtel di Esplanade.
Sejurus saja ia bermula, banyak persoalan dan kekeliruan mula berlegar dalam fikiran saya. Pementasan ini kononnya berkisar tentang dua watak utama sahaja, tetapi anehnya ada lima pelakon di atas pentas.
Dua pelakon lelaki menghidupkan watak Ming, sementara tiga pelakon wanita pula melakonkan watak anak perempuannya, Claire. Dan ya, Claire di sini merujuk kepada Claire Wong, pengarah serta penulis Escape To Batam!
Yang mengelirukan lagi, mereka tidak memainkan watak itu secara bergilir-gilir, tetapi serentak. Tak pening ke? Malah, pelakon sendiri ada sedikit-sebanyak menjelaskan sebab wujudnya “salinan” watak mereka. Jawapannya? SEBAB BOLEH, DIK.
Persembahan oleh Checkpoint Theatre ini cuba menyulam tema sejarah dengan kesusahan yang dialami setiap generasi. Contohnya, generasi Ming digambarkan melarikan diri ke Batam sewaktu perang Jepun, manakala generasi Claire berdepan cabaran lebih moden seperti pandemik Covid-19.
Secara jujur, saya tidak dapat mengesan kaitan antara penderitaan dua zaman ini, selain hubungan darah yang mengikat kisah mereka.
Peliknya, tajuknya Escape To Batam… bagaimana ia relevan dengan kisah Claire semasa Covid-19? Adakah “escape” merujuk kepada suaminya, Huzir Sulaiman (juga penulis karya ini), yang tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga kerana sekatan sempadan Singapura ketika pandemik?
Secara terus terang, saya menanti-nanti adegan kemuncak dalam Escape To Batam ini, tetapi akhirnya agak hampeh! Jalan ceritanya terasa kurang padat, intinya tidak begitu mantap.
Bagaimanapun, para pelakon, Adib Kosnan, Chaney Chia, Genevieve Tan, Rebekah Sangeetha Dorai, dan Neo Swee Lin, menjayakan pementasan ini dengan begitu bagus sekali. Suara Rebekah merdu sekali tawwww.
Natijahnya, ia seolah-olah sebuah kisah keluarga yang lebih sesuai diceritakan dalam suasana santai. Mungkin semasa berpiknik bersama sahabat handai dan keluarga, bukan dipentaskan di teater dengan penonton yang akhirnya terpinga-pinga.
Atau mungkin juga karya ini terlalu artistik dan berlapis untuk saya fahami makna tersiratnya?
Apa pun, kalau anda masih mahu menontonnya, tiket masih boleh didapati di lelaman Esplanade.


