3M – Manja, Miang, Mentel!
Itulah naluri dan pesona seorang Ernie Zakri yang begitu terserlah sepanjang konsert solonya malam semalam di Mediacorp Theatre, Singapura.
Dengan kehadiran aura bintang dan vokal memukau, Ernie membuktikan bahawa dirinya layak digelar antara penyanyi wanita terbaik Malaysia masa kini.
Pembukaan yang bertenaga
Konsert dibuka dengan lagu “Aura”, membawa penonton terus masuk ke dalam dunia muzik Ernie Zakri. Suaranya yang lunak namun lantang, menyelimuti ruang teater dan meresap ke jiwa setiap yang hadir.
Penyanyi Malaysia itu bukan sahaja tampil dengan penuh keyakinan, tetapi mempersembahkan dirinya sebagai artis serba boleh yang tahu menguasai pentas menerusi vokalnya.
Namun begitu, sedikit kekecewaan dirasai apabila versi Anugerah Juara Lagu (AJL) bagi lagu “Aura”, yang terkenal dengan unsur opera dan dramatik, tidak dibawa ke pentas Singapura.
Versi itu pastinya dapat memberikan kesan pembukaan lebih besar dari segi emosi dan persembahan visual, kan?
Barisan lagu dan kerjasama penuh emosi
Ernie mempersembahkan pelbagai lagu dari albumnya Aura, tidak terlupa lagu-lagu hit seperti “Boneka”, “Gundah”, dan tentunya “Ku Bersuara”, yang dijadikan penutup persembahan malam itu.
Setiap lagu dinyanyikan dengan teknik vokal yang mantap dan penghayatan mendalam, memperlihatkan sisi artistik Ernie yang semakin matang.
Konsert turut menyaksikan detik manis apabila Ernie berduet dengan suaminya, Syamel, menyampaikan lagu ikonik pasangan itu, “Aku Cinta”.
Keserasian antara mereka di atas pentas jelas terasa – bukan sekadar persembahan, tetapi juga paparan cinta dua jiwa seni.
Selain itu, satu lagi kolaborasi istimewa yang mencuri perhatian adalah bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito, menerusi lagu “Kisah Penuh Kecewa”.
Lagu ini baru sahaja dilancarkan beberapa hari sebelum konsert dan ini merupakan persembahan sulung mereka secara langsung!
Gabungan dua suara dari dua negara serumpun ini menambah warna dan nilai eksklusif konsert tersebut.
Dan tentunya, mestilah ada lagu Masing-masing dan Hal Hebat! Kedua-dua lagu ini menempatkan Ernie Zakri di peta Nusantara – bukan saja Malaysia dan Singapura, malah Indonesia!
Ia begitu popular sehinggakan Masing-masing menjadi lagu encore yang dinyanyikan bersama peminat. Encore tak dirancang ok!
Busana anggun dan curlass
Ernie memukau dengan tiga busana berbeza, masing-masing membawa perwatakan tersendiri. Salah satu busana paling menyerlah ialah gaun biru ala Rapunzel, lengkap dengan tocang panjang menjurai ke belakang – penampilan yang seolah-olah membawa penonton ke alam fantasi.
Ernie sempat berseloroh bahawa tocang tersebut agak berat, namun ia tidak langsung menghalang pergerakan dan prestasinya di pentas. Gaya fesyennya malam itu melambangkan glamor, kematangan serta daya tarikan bintang yang sebenar.
Isu bunyi: cabaran di lokasi baharu
Walaupun vokal Ernie tiada cela dari segi teknik dan kekuatan, sayangnya kualiti sistem bunyi di Mediacorp Theatre agak mengecewakan. Kedengaran bahawa bunyi alat muzik terlalu kuat sehingga kadangkala ‘menenggelamkan’ suara penyanyi.
Ini mungkin kerana ini merupakan konsert sulung anjuran SAH Entertainment di lokasi tersebut, berbeza dengan acara-acara sebelum ini yang sering diadakan di The Star Theatre, yang terkenal dengan sistem akustiknya yang cemerlang.
Diharapkan pihak penganjur dapat menyesuaikan diri dan melakukan penambahbaikan untuk acara yang akan datang agar pengalaman penonton lebih sempurna dan seimbang dari segi audio.
Also, Min perhatikan yang Ernie asyik di tengah pentas je… jarang sangat dia jalan ke tepi. Kenapa eh?
Pengumuman istimewa
Menambah keterujaan malam itu, pihak penganjur SAH Entertainment turut mengumumkan secara rasmi bahawa kumpulan popular Malaysia, Insomniacks, akan mengadakan konsert di Singapura tidak lama lagi. Pengumuman ini disambut meriah oleh para penonton, sekaligus membuktikan bahawa SAH Entertainment terus komited membawa artis-artis pujaan ramai ke pentas Singapura.
Secara keseluruhan, konsert Ernie Zakri di Mediacorp Theatre membuktikan kehebatannya bukan sahaja sebagai vokalis, tetapi juga sebagai penghibur yang tahu bagaimana untuk menawan hati penonton.
Dengan gaya manja, sedikit miang dan mentel yang bersahaja, Ernie berjaya menghadirkan sebuah persembahan yang tidak akan mudah dilupakan.
Jika isu teknikal dapat ditambah baik, masa depan konsert-konsert anjuran SAH Entertainment di lokasi ini pastinya akan lebih gemilang. Buat peminat yang hadir malam itu – ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman magis bersama Ernie Zakri.

[…] berlangsung pada 18 Julai di Bukit Bintang Temasek (Star Theatre), anda juga bakal dihiburkan oleh Ernie Zakri dan Ade […]
LikeLike
[…] kot takkan lah tak rancang awal-awal? Bukan ke dah buat sidang media berbulan yang lalu? Bersama Ernie Zakri dan […]
LikeLike