Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite, sebuah persembahan menyentuh jiwa

Sediakan tisu. Bukan kerana anda bakal bersedihan, tetapi kerana hati anda akan dibelai dengan kenangan yang begitu indah dalam Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite.

Advertisements

Dalam panggung Wild Rice, Funan, rasa terpegun menyebelungi jiwa tatkala mendengarkan muzik yang dimainkan. Tapi bukan sembarangan muzik – irama yang pernah membalut zaman kecil, yang membawa semula detik pertama saya jatuh cinta pada seorang legenda bernama P. Ramlee.

Di bawah bimbingan maestro tersohor, Foo Say Ming, orkestra re:mix yang dianggotai oleh 30 orang pemuzik ini akan membawa anda menyelami semula karya agung Tan Sri P. Ramlee — disusun semula dengan penuh rasa hormat dan kasih, diberi nafas baharu oleh komposer Julian Wong yang begitu halus sentuhannya.

Maestro Foo Say Ming mengetuai orkestra re:mix

Setiap nada muzik seakan menyentuh jiwa. Irama klasik seperti Azizah, Tunggu Sekejap, dan Getaran Jiwa diolah semula dengan begitu indah, seolah-olah kita dibawa pulang ke satu masa yang kita rindukan… tempat yang tidak lagi wujud, tetapi masih hidup dalam ingatan dan melodi.

Julian Wong telah menyusun semula irama klasik Allahyarham P Ramlee dalam
Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite

Namun, yang paling menyentuh hati — P. Ramlee sendiri muncul di pentas. Ya, anda tidak silap baca.

‘P. Ramlee’ muncul di pentas Wild Rice

Wataknya dihidupkan dengan penuh penghayatan oleh Fadhli Ramlee, yang bukan sahaja mirip dari segi rupa, tetapi juga cara bertutur, gerak-geri dan karisma yang membuatkan anda terasa seolah-olah P. Ramlee kembali menjelma di atas pentas Ngee Ann Kongsi Theatre malam itu.

Advertisements

Interaksi antara Julian Wong dan watak P. Ramlee bukan sekadar hiburan; ia adalah sebuah penghormatan yang mengungkapkan proses kreatif di sebalik penciptaan semula karya-karya hebat ini. Dalam diam, kita diajak memahami betapa luar biasanya seorang insan yang mencipta irama walaupun tiada pendidikan muzik secara formal.

Advertisements

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang menjayakan Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite, terutamanya Julian Wong — kerana mewujudkan satu persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik, menyentuh, dan memelihara legasi muzik negara dengan pendekatan yang cukup luar biasa.

Persembahan ini adalah magis yang sebenar.

Anda masih berpeluang untuk menyaksikannya sehingga 31 Mei ini. Tiket boleh didapati di Sistic.

Dan sebagai tanda penghargaan buat pembaca setia Pengkritik Sandiwara, nikmatilah diskaun 10% untuk tiket Kategori 1 dan 2! Tertakluk kepada terma dan syarat.

Advertisements

Jangan lupa bawa tisu, tau?

Tinggalkan komen