Sebuah pementasan baharu bertajuk Singapore, Michigan bakal menemui para penonton di Singapore Airlines Theatre pada bulan Jun ini. Sebuah karya yang menggabungkan unsur sejarah, humor dan renungan jiwa, naskhah ini menjanjikan pengalaman teater yang menyentuh dan mencabar minda.
Dipersembahkan oleh Pangdemonium, sebahagian daripada New Works Lab yang memberi ruang kepada penulis baharu, Singapore, Michigan merupakan hasil tulisan Chong An Ong, seorang penulis berbakat yang semakin mencipta nama dalam dunia seni pentas tempatan.
Kisah ini mengisahkan tiga sahabat — dua dari Singapura dan seorang dari Amerika Syarikat — yang dalam usaha mereka menjejaki bandar lama bernama Singapore. Pada awalnya, ia kelihatan seperti sebuah pengembaraan menghiburkan. Namun, semakin jauh mereka menyusuri jejak kota yang hampir dilupakan itu, perjalanan mereka bertukar menjadi pencarian diri yang mendalam, penuh dengan kesedaran tak terduga dan dilema falsafah.
Karya ini menyoroti legenda tentang kota Singapore, sebuah pelabuhan kecil yang ditubuhkan pada tahun 1836. Namun selepas menempuhi pelbagai cabaran — daripada bencana alam hingga perubahan landskap ekonomi — kota itu akhirnya ditinggalkan pada tahun 1875, dan kini tinggal sebagai tapak sejarah yang sepi dan dilitupi salji.
Pada tahun 2025, tiga watak utama kembali menjejak lokasi kota yang pernah wujud itu. Terperangkap dalam ribut salji, mereka bukan sahaja bergelut dengan kesejukan yang menggigit, tetapi turut diuji secara emosi dan mental. Ketiga-tiga mereka terpaksa berdepan dengan pertanyaan-pertanyaan identiti.
Pementasan ini pastinya akan menyentuh hati sesiapa sahaja yang pernah bergelut dengan dilema antara nilai tradisi dan tuntutan kemodenan, antara jangkaan masyarakat dan suara hati sendiri.
Diarah oleh Timothy Koh, pementasan ini menampilkan lakonan oleh Shrey Bhargava, Shu YiChing dan Zane Haney — barisan pelakon yang dijangka menghidupkan kisah ini dengan penuh jiwa!
Singapore, Michigan akan dipentaskan dari 26 Jun hingga 11 Julai di Singapore Airlines Theatre. Tiket kini mula dijual menerusi lelaman Pangdemonium.
