Hazlina Halim sertai PAP, bakal tanding dalam Pilihan Raya 2025?

Bekas pembaca berita, Hazlina Halim, kini menyertai Parti Tindakan Rakyat (PAP), mencetuskan spekulasi mengenai penyertaannya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Dalam satu siaran di Instagram, Hazlina berkongsi beberapa gambar dirinya berpakaian serba putih lengkap dengan pin PAP—pakaian yang amat sinonim dengan parti pemerintah.

Hazlina Halim bersama Encik Tan See Leng, bertemu penduduk

Beliau juga memaklumkan bahawa dirinya telah turun padang di Marine Terrace Blok 50A untuk bertemu penduduk, sambil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng, selaku Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade, atas sokongan dan bimbingan.

“Saya gembira dapat turun padang bersama sukarelawan Marine Parade dan MacPherson, di mana persahabatan yang terjalin amat saya hargai,” tambahnya pula, sukarelawan ini diterajui oleh Cik Tin Pei Ling, Anggota Parlimen bagi SMC MacPherson.

“Terima kasih kepada semua, terutama keluarga dan rakan, atas sokongan tak terhingga dan galakan,” tulisnya lagi.

Hazlina Halim bergambar dengan Encik Tan, Cik Tin Pei Ling dan sukarelawan PAP yang lain.

Berita Mediacorp pula hanya melabelkan Hazlina Halim sebagai seorang “sukarelawan” di artikel tulisan mereka.

Artikel Berita Mediacorp

Manakala artikel Berita Harian pula mengenalkan beliau sebagai bakal calon PAP.

Artikel Berita Harian

Hazlina, yang sebelum ini dikenali menerusi dunia penyiaran sebagai pengacara TV dan DJ radio, bukanlah asing dalam bidang kepimpinan dan perkhidmatan masyarakat.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Politeknik Temasek, bertugas di Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura, serta berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapura. Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Penyertaan Hazlina dalam PAP, menimbulkan persoalan sama ada beliau bakal dicalonkan dalam GE2025. Bagaimanapun, setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai pencalonannya.

Kita sama-sama nantikan.

Erwin Dawson juga baru-baru ini berjinak-jinak dalam dunia politik.

(Gambar-gambar dari IG Hazlina Halim)

Tinggalkan komen