Death of Singapore Theatre – surat cinta buat IMDA

‘No!’

Penonton dikejutkan dengan perkataan ‘no’ atau ‘tidak’ oleh Farah Ong pada awal pementasan ini, mencuri perhatian penonton yang sedang leka menunggu panggung Funan untuk bergelap sebelum mulanya pementasan ini.

Tapi dalam karya Alfian Sa’at ini, panggung tidak bergelap. Bahkan, raut wajah setiap penonton boleh dilihat tatkala Farah Ong muncul. Mungkin inilah reaksi yang diberi penggiat teater tiap kali karya mereka diberi jawapan ‘tidak’?

Farah Ong sambung berkata ‘tidak’ dalam cara yang berbeza. Menunjukkan bahawa terdapat pelbagai cara istilah ini boleh diutarakan. Dari segi suara, pitch, kelajuan dan banyak lagi – banyak cara untuk menidakkan sesuatu rupanya!

Pementasan yang diberi judul The Death Of Singapore Theatre As Scripted By The Infocomm Media Development Authority Of Singapore ibarat surat cinta kepada IMDA. Dalam persembahan ini, watak utama (dan satu-satunya watak) sebenarnya sedang berbual kepada individu atau pihak IMDA yang bertanggungjawab atas kerja-kerja penapisan bagi kerja-kerja teater.

Alfian Sa’at menyoal hampir setiap garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa. Menjelaskan bahawa garis panduan yang samar-samar mengelirukan penggiat teater. Lagipun, skrip mampu berubah dari tempoh masa ia dihantar ke pihak berkuasa sampailah hari pertama persembahan. Adakah tiap kali ia berubah, ia harus mendapat restu dari pihak berkuasa?

Bukan itu saja, tujuan penapisan adalah untuk pastikan apa yang dibentangkan selaras dengan ideologi dan pemikiran pihak majoriti di negara ini, jadi adakah sensitiviti minoriti dipinggirkan?

Selain itu, pementasan arahan Irfan Kasban ini juga rasa seperti menghadiri sebuah kuliah mengenai sejarah penapisan di Singapura.

Penonton diajak mempelajari tentang asal-usul penapisan dari era prakolonial lagi. Dan bagaimana ia telah bertukar menjadi apa yang ditubuhkan sekarang.

Sebagai penonton, memanglah pementasan ini sesuatu yang membuka minda. Penonton dapat pelajari banyak tentang penapisan di Singapura – cara-cara penapisan, langkah-langkah, kelemahannya, kesukaran bagi pihak syarikat teater dan banyak lagi.

Tapi ingat, kisah ini sebenarnya surat cinta kepada pihak IMDA. Persoalan yang bermain di fikiran adalah… bagaimana reaksi serta pandangan mereka sejurus saja habis membaca tulisan Alfian Sa’at ini?

Adakah mereka menganggap ini hanya satu karya teater yang hanya perlu ditapis seperti tugasan sebelumnya? Atau adakah mereka terkesan dengan coretan dan luahan hati ini?

Saya amat sarankan anda untuk menonton The Death Of Singapore Theatre As Scripted By The Infocomm Media Development Authority Of Singapore. Ia bukan sekadar mengajak anda ke realiti dunia penapisan, tetapi juga jendela bagi kebebasan bersuara di negara ini.

Lakonan mantap Farah Ong yang memikul tanggungjawab menjayakan pementasan ini harus dipuji. Memang pelakon yang sesuai untuk membawa watak ini! Lakonan yang meyakinkan, menghiburkan dan begitu santai tapi mampu menyampaikan apa yang patut kepada penonton.

Tiket masih ada tapi terhad tau! Boleh didapati di sini. Ia akan berlangsung hingga 30 Mac.

– Pengkritik Sandiwara

(gambar-gambar oleh Wild Rice)

Tinggalkan komen